NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Apakah itu 'Pondok'?

Sudah lama nak menulis hal ini, tertangguh sejak setahun yang lalu. Apabila berbicara tentang Pondok atau Pesantren, apakah ciri unggulnya yang membezakan sistem pondok dengan sistem lain? Apakah ciri yang menjadi pembeza antara pondok dan Maahad Tahfiz dan Sekolah Agama Moden?

Ada TUJUH ‘POINT’ besar yang mencirikan sesebuah madrasah atau sekolah dipangggil pondok. ‘Point’ ini saya dapatkan dari sahabat saya, Dr Muhammad Ayman Al Akiti ketika forum pemerkasaan Pondok anjuran Pertubuhan Isyraq tahun lepas dan saya huraikan dengan bahasa saya sendiri.

Ciri 1 : Turath

Ciri pengajian pondok yang paling istimewa adalah pengajian menggunakan kitab Turath atau juga dikenali kitab-kitab kuning yang patuh Ahlul Sunnah Wal Jamaah. Antara kitab terkenal yang dijadikan pengajian ialah Syarah Alfiah, Syuzur Az Zahab, Minhajul Tolihin, Iqna’, Tafsir Jalalain, Al-Mahalli, Lataif Al Isyarah, Minhajul Abidin, Hikam Ibnu Atha’illah, Ummul Barahin, Hasyiah Dusuki, Syarah Jauharah At Tauhid dan lain-lain.

Untuk peringkat permulaan, para pelajar juga akan dibacakan kitab-kitab jawi seperti Matlain al Badrain, Risalah Tauhid, Faridah Al Faraidh, Sabila Al Muhtadin, Penawar bagi Hati dan lain-lain.

Ciri 2 : Manhaj Ilmu – Ahlul Sunnah Wal Jamaah

Sistem pondok sangat ‘straight’ berhubung hal ini. Manhaj ilmu mesti jelas supaya tak lahir pelajar yang tidak jelas pegangan. Justeru itu, Manhaj ilmu dalam tradisi Nusantara, pondok atau pesantren memegang erat Ash’ariah dan Maturidiah sebagai mazhab Akidah, bertaut kasih Mazhab Syafie dalam mazhab Fiqh (tanpa menolak pengajian mazhab lain) serta bersimpul kemas amalan tasauf aliran Imam Al Ghazali dan Imam Junaid Al Baghdadi.

Setelah kukuh tiga usul agama ini, baru lah pelajar akan diajarkan dengan pelbagai disiplin ilmu lain dengan lebih mendalam. Apabila akar kemas, Insya Allah kukuh pokok dan enak buah terhasil.

Ciri 3 : Pengajian Kulit ke Kulit sampai Khatam

Ciri terpenting sistem pondok yang membezakan sistem Jamiah (Universiti) adalah Kitab-kitab turath ini dibaca secara kulit ke kulit sampai khatam bertalaqqi hadapan Guru. Ia bukan dibaca secara tebuk-tebuk kerana dibimbangi para pelajar tidak memahami keseluruhan isi kitab dengan baik.

Ciri 4 : Murni

Pengajian pondok murni atau suci dari campuran sistem-sistem lain. Bukan menafikan kebaikan sistem tahfiz atau akademik, namun, ketika pelajar ikuti sistem ini, fokus pada satu satu sistem adalah lebik baik dan berkesan. Jika mereka minat menghafaz Al Quran, boleh fokus selesaikan tamatkan hafazan terlebih dahulu sebelum masuk sistem pondok. Demikian juga subjek akademik, boleh diambil kemudian. Ini kerana jadual para pelajar pondok sangat padat, bermula selepas subuh hingga lewat malam. Sekurang-kurang 7-8 buah kitab meliputi pelbagai disiplin ilmu akan dibacakan oleh Guru dalam sehari.

Ciri 5 : Ilmu Alat Bahasa Arab dan Kitab berbahasa Arab

Kekuatan dan keunikan pengajian pondok adalah pada penguasaan ilmu alat bahasa arab. Mereka diajar kulit ke kulit dan melalui metode terjemahan harfiah kitab-kitab ilmu alat seperti nahu, saraf, balaghah (Maani, bayan dan badi’), mantik dan irab. Selain itu, para pelajar akan diuji penguasaan ilmu bahasa arab dengan membaca kitab kuning yang tiada baris di hadapan Guru. Mereka harus membaca dengan betul serta mengirabkan kalimah-kalimah yang dibaca supaya berhasil tahqiq dan daqiq. Jika di Jawa, kaedah ini dipanggil ‘Sorongan’ yang diperkenalkan oleh Syaikhuna Khalil Bangkalan.

Pengukuhan ini tidak terhasil sekiranya tidak Guru tidak membacakan kitab-kitab arab. Ketika talaqqi itu, mereka mendengar bagaimana Guru membaca, mengenal ibarat-ibarat dan mendapat perbendaharaan kata. Sekiranya pondok hanya membaca kitab Jawi, pencapaian ini sukar diperolehi.

Ciri 6 : Adab

Penekanan adab adalah suatu yang sinonim hingga adab itu menjadi identiti para guru dan pelajar pondok. Dalam tradisi pondok di Nusantara, para pelajar yang baru masuk pondok akan dibacakan kitab adab dan pemantapan ilmu fardhu ain. Kitab yang masyhur dibaca adalah Taalim Al Mutaalim. Guru pula bukan hanya sekadar membaca kitab adab tetapi mentarbiyah secara langsung (live) dalam kehidupan Guru bersama pelajar. Oleh kerana itu, Guru pondok mesti ada jiwa murabbi untuk mendidik murid. Jika tidak, tiada beza dengan sistem moden yang mana Guru hanya penyampai ilmu di bilik kelas tetapi tiada tarbiyah adab secara langsung.

Ciri 7 : Hal

Di Pondok, para pelajar akan menjalani kehidupan bersama Guru kerana rumah Guru dan pondok pelajar berada dalam satu kawasan yang sama. Ini tradisi yang penting dipelihara. Para pelajar akan solat berjemaah, berzikir bersama Guru, beraktiviti bersama Guru dan berkhidmat kepada Guru. Suhbah (berdampingn murid dengan Guru) berlaku secara bersemuka. Ini sangat memberi kesan kepada jiwa dan rohani pelajar.

Ketika berdampingan, berlaku pencontohan akhlak batin (contoh- tawadhu’, zuhud, sabar) dan zahir (budi pekerti tinggi) dari Guru kepada murid. Ini yang dipanggil Hal. Murid menyaksikan akhlak mulia (zahir dan batin) Gurunya secara berhadapan lalu murid tadi mengamalkan apa yang dicontohkan.

Hal juga disini bermaksud berlaku perpindahan hal rohani Guru ke batin si murid. Sifat-sifat batin Guru iti berpindah murid. Ini yang disebut oleh ulama’ tasauf ilmu dada ke dada. Maka sudah pasti, hal rohani yang baik diperolehi kerana adanya tazkiah (penyucian hati) seperti amalan atau wirid zikir harian yang mesti diamalkan pelajar. Setengah pondok, menjadikan amalan selawat dan bacaan burdah / qasidah secara mingguan sebagai pengisian rohaniah mereka.

Kesimpulan

Dari tujuh ciri ini, membawa ciri istimewa dan pembeza sistem pondok dengan sistem-sistem pengajian lain. Semoga sistem ini berkekalan disamping terbuka menerima perubahan sesuai dengan perkembangan zaman asalkan tujuh ciri istimewa pondok itu tidak diceraikan. Tujuh ciri itu adalah saripati pondok. Bertukar bentuk bangunan tidak mengapa asalkan bukan dasarnya. Semoga sistem warisan ratusan tahun ini terpelihara sebagai benteng utuh Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

Tulisan oleh : Angah Sunan

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo