NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Khairuddin kekal Setiausaha Majlis Syura Ulama

KEDUDUKAN Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas sama sekali tidak terjejas biarpun bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu telah digugurkan daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, baru-baru ini.

Malah menurut Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, isu mengenai jawatan disandang Mohd. Khairuddin dalam Majlis Syura Ulama itu juga langsung tidak pernah dibincangkan oleh kepimpinan Majlis Syura Ulama selepas beliau digugurkan daripada AJK Pas Pusat.

“Mohd. Khairuddin masih kekal sebagai Setiausaha Majlis Syura kerana beliau hanya digugurkan sebagai AJK Pas Pusat. Itu tidak mengganggu tugasnya di Majlis Syura Ulama.
“Kalau disingkir dari parti, waktu itu automatik beliau bukan lagi Setiausaha Majlis Syura Ulama. Dalam keadaan sekarang, beliau masih Setiausaha Majlis Syura Ulama malah kami juga tidak pernah membincangkan mengenai jawatan disandangnya itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu Hashim memaklumkan, di sepanjang pengetahuannya tidak ada dalam kalangan pemimpin Pas yang tidak bersetuju dengan dasar untuk mempertahankan Muafakat Nasional (MN) dan memperkasakan Perikatan Nasional (PN) seperti ditetapkan dalam muzakarah Majlis Syura yang bersidang penghujung tahun lalu.

Menurutnya rata-rata kepimpinan Pas dilihat sentiasa konsisten dalam memperjuangkan perkara itu.

“Kepimpinan tertinggi Pas pun tak nampak menolak. Kalau ada seorang dua yang lain bersuara, itu kita tak ambil kisahlah kerana pendapat sedemikian hanya bersifat peribadi.

“Perkara paling utama adalah, kita semua kena ingat bahawa perpaduan ummah ini bukan idea dan bukan juga idea UMNO. Sebaliknya ini perintah tuhan dan sebagai orang Islam, wajib laksanakan perintah itu.

Beliau dalam pada itu turut memetik surah Ali-Imran ayat 103 yang membawa maksud mengajak umat Islam agar sentiasa bersatu-padu dan tidak berpecah-belah.

“Kalau ada suara hendak keluar atau tak suka dengan perpaduan, itu bermakna kita telah menolak apa yang tuhan suruh. Ingat akan ayat itu yang menyeru ke arah perpaduan dalam kalangan kita,” katanya.

Surah Ali Imran ayat 103 bermaksud;

Dan berpegangteguhlah kamu semuanya pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan karunia-Nya kamu menjadi bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana. Demikianlah, Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo