NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Alia sasar aksi Olimpik Paris




Kuala Terengganu: "Sasaran saya untuk membantu pasukan jelajah profesional dunia (Canyon-Sram Racing) meraih podium dalam setiap kejohanan disertai. Selain itu saya juga mahu memburu tiket ke pentas Sukan Olimpik dengan menjadikan penyertaan bersama kelab profesional itu sebagai landasan terbaik untuk beraksi dalam temasya sukan terbesar dunia itu," kata pelumba berbasikal lebuh raya, Siti Nur Alia Mansor, 21 yang bakal membuat penampilan pertama bersama kelab profesional dari Jerman, Canyon-Sram Racing yang berpangkalan di Sepanyol musim ini.

Pelumba kelahiran Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu yang melakar sejarah menjadi pelumba wanita pertama negara dan Asia Tenggara dilamar kelab profesional luar negara itu bakal berlepas ke Jerman pada 13 Januari ini sebelum ke Sepanyol.

Adik kepada pemenang pingat emas Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland 2014 dalam acara angkat berat, Hafifi Mansor dan bekas pemain sayap Terengganu dan Johor FC, Faizal Mansor itu mengikat kontrak selama setahun bersama kelab kelima terbaik dalam Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) musim lalu.

"Alia begitu bangga kerana berpeluang menyertai kelab kelima terbaik dunia kategori wanita tahun lalu dan situasi ini sudah tentu memberi pengalaman besar sekali gus membuktikan pelumba wanita Malaysia juga mampu bersaing di pentas antarabangsa dengan pelumba handalan dunia.

"Kejohanan pertama bakal saya sertai pada Mac depan di Sepanyol, impian sudah tentu untuk membantu pasukan meraih podium selain mengintai peluang beraksi di pentas Sukan Olimpik satu hari nanti kerana apa yang dimaklumkan jurulatih kelab itu, semua pelumba yang menjalani latihan bersama pasukan itu pernah beraksi di pentas Olimpik," katanya ketika ditemui selepas majlis meraikannya di Wisma Darul Iman, dekat sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Alia menerima sumbangan RM3,000 daripada kerajaan negeri yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Turut hadir Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahya dan bekas jurulatihnya sejak berusia 11 tahun, Syed Mohd Husaini Syed Mazlan.

Ketika ditanya mengenai tawaran berkenaan, anak bongsu daripada enam beradik yang kematian bapanya sejak kecil menjelaskan dia mula diintai kelab berkenaan sejak dua tahun lalu oleh bekas ketua jurulatih Terengganu Cycling Team (TSG), Adam Szabo.

"Saya dapat tawaran pada Jun 2020 daripada jurulatih kelab berkenaan, Szabo, tapi sebelum menerima tawaran itu, hampir sebulan juga memikirkannya untuk membuat keputusan sama ada menerima atau sebaliknya.

"Lebih-lebih lagi saya fokus dan mahu melangkah lebih jauh dalam acara trek sebagaimana pelumba trek negara, Datuk Azizulhasni Awang. Tapi selepas mendapat tawaran ini, saya lihat peluang ke Olimpik juga cerah tambahan pula kelab berkenaan sudah melahirkan ramai pelumba yang beraksi di sukan itu," kata pelumba berketinggian 1.64 meter itu.

Sementara itu Syed Mohd Husaini berkata, Alia adalah permata berharga buat Terengganu dan negara sehingga mendapat tawaran daripada kelab profesional dunia.

Berdasarkan rekod, Alia yang sebelum ini mendapat bimbingan ketua jurulatih Terengganu, Syed Mohd Husaini meraih emas acara kejar mengejar berpasukan di Nilai musim lalu.

Sepanjang kariernya bermula 2013, atlet Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu itu sudah meraih 22 pingat emas, 17 perak dan 3 gangsa dalam pelbagai kejohanan selain pernah berguru di Melbourne, Australia di bawah bimbingan John Beasley dalam acara trek.
.

...........oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo