NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Manfaat aplikasi media sosial sebar maklumat awal bencana




TRAGEDI banjir di negara ini kesan tempias badai Taufan Rai melanda Filipina dianggap terburuk dalam 35 tahun, terutama di Shah Alam dan Hulu Langat hingga meragut nyawa dan memusnahkan harta benda.

Ramai terkepung hingga ada terpaksa memanjat bumbung atau lari ke kawasan bukit dan terputus hubungan darat. Segala-galanya berlaku pantas hingga ada pusat pemindahan sementara (PPS) dianggap selamat, ditenggelami air.

Malangnya, wujud sekumpulan mengaut laba 'populariti.' Mereka menggunakan kuasa media sosial untuk menabur fitnah dan menuding jari kepada pemerintah kononnya gagal menangani musibah ini.

Muncul gambar dan video kononnya punca banjir yang tidak pula dikongsi sebelumnya. Sesetengahnya memuat naik video dan mengeluarkan kata kesat, marah serta mengutuk kerajaan tidak menjalankan tugas menyelamat.

Malah, ada sedang menjalani umrah tetapi mengutuk, menuduh dan menuding jari, walaupun sedang menjalani ibadah. Mengapakah isu ini terlalu dipolitikkan?

Wujud kecenderungan dan keghairahan menghebohkan apa dilakukan ketika banjir. Masing-masing menunjukkan 'adegan' misi bantuan di media sosial, tetapi menganggap orang lain tidak melakukan sesuatu kerana tiada liputan.

Bencana dimanipulasikan untuk kepentingan politik pihak tidak bertanggungjawab. Berdasarkan pengamatan di media sosial, maklumat dan foto palsu disebarkan. Mengapakah ketika saudara kita bergelut soal hidup mati, golongan tidak bertanggungjawab menyebarkan gambar dan maklumat palsu?

Tindakan sebegini mencetuskan keresahan dan keraguan rakyat terhadap petugas banjir sedangkan anggota penyelamat dan sukarelawan bertungkus-lumus memastikan keselamatan mangsa.

Lebih membingungkan, ada pihak tidak mengetahui asal usul dan cerita sebenar, menularkan berita palsu hingga menyebabkan rakyat tambah cemas. Apa ditonjolkan lebih kepada kegagalan menyelamatkan mangsa terputus hubungan berbanding ribuan mangsa diselamatkan.

Wujudlah cerita menuduh pihak penyelamat tidak cekap menjalankan tugas, kerajaan tidak membantu dan ahli politik tidak turun padang. Hakikatnya, masing-masing ada peranan tersendiri dalam misi menyelamat mangsa banjir.

Kerajaan Persekutuan dan negeri menyelaras sumber, pusat perpindahan serta segala perkara berkaitan misi. Namun, kejadian banjir bermula Sabtu itu, menyebabkan urusan agak lewat kerana keterbatasan waktu dan sumber. Namun, tidak bermakna kerahan tenaga tidak dilakukan.

Di Shah Alam contohnya, hujan bermula malam Jumaat hingga empat hari berturut-turut menyebabkan air naik mendadak dan hubungan jalan raya terputus, sekali gus penduduk terkepung serta sukar berpindah. Dengan kepadatan penduduk, berlaku kelewatan misi menyelamat. Mujur penduduk dan sukarelawan banyak membantu mangsa untuk berpindah ke PPS berdekatan.

Pasukan penyelamat bertungkus-lumus mengerah kudrat dalam keadaan keterbatasan membantu menyelamatkan mangsa siang malam. Mungkin tidak siapa membuat 'liputan video' kerana berlaku dalam kecemasan. Ahli politik, sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyelamat, memberi makanan serta segala keperluan di PPS. Mereka turut membersihkan rumah selepas banjir.

Pasukan penyelamat, sukarelawan, NGO dan semua terbabit ialah wira tidak didendang. Mereka membantu mangsa kerana keprihatinan dan semangat tolong-menolong dengan ikhlas. Semangat waja itu mesti dipuji dan disanjung.

Lebih penting, tindakan menyelamat perlu dilakukan dan persoalan politik mesti diketepikan. Kerajaan Persekutuan mengerahkan segala sumber membantu mangsa tanpa mengira fahaman politik. Tidak dinafikan mungkin berlaku kelemahan, namun ia bukan faktor kelalaian atau ketidakcekapan.

Pengumuman bantuan khusus RM500 juta kepada mangsa di semua negeri terjejas membuktikan, walaupun tidak diisytiharkan darurat, segala jentera keselamatan kerajaan dikerahkan. Ini tidak termasuk peruntukan membina semula infrastruktur awam musnah seperti jalan, hospital dan masjid.

Bagaimanapun, kita harap sistem amaran awal banjir dipertingkatkan bagi membolehkan semua bersedia lebih awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Bencana banjir kini seperti rutin setiap hujung tahun dan di tempat 'biasa' khususnya di Pantai Timur. Namun, belum ada sistem amaran awal banjir berkesan boleh disalurkan terus kepada pengguna. Pelbagai teknologi dan kaedah diguna pakai negara maju bagi menyampaikan amaran awal kepada orang awam boleh dicontohi.

Sekiranya kos, masa dan infrastruktur menjadi faktor kritikal dalam membangunkan sistem amaran awal bencana, aplikasi media sosial membantu menyebarkan maklumat serta amaran awal.

Teknologi sedia ada boleh dimanfaatkan bagi membangunkan sistem amaran awal seperti Twitter Alert digunakan di negara seperti Amerika Syarikat (AS), Australia, United Kingdom (UK) dan Jepun ketika bencana. Ia ditawarkan percuma Twitter, justeru pihak seperti kerajaan negeri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh mempertimbangkannya sebagai alternatif menyalurkan maklumat bencana lebih pantas dan terus kepada pengguna.

Kos pembangunan dan pengurusan sistem maklumat bencana dapat diminimumkan, manakala penyampaian maklumat kepada orang awam dapat dimaksimumkan.

****Profesor di Universiti Teknologi MARA (UiTM)


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo