NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

164 Maut, 6,000 ditahan dalam rusuhan di Kazakhstan




ALMATY : Sekurang-kurangnya 164 individu maut berikutan tunjuk perasaan ganas di Kazakhstan minggu ini, termasuk 103 mangsa di bandar terbesar, Almaty.

Pihak berkuasa sebelum ini memaklumkan, 26 penunjuk perasaan dan 16 anggota keselamatan maut dalam kekecohan yang tercetus akibat peningkatan harga minyak, sebelum bertukar menjadi pertembungan dengan pihak berkuasa.

Menurut Kementerian Dalam Negeri Kazakhstan, seramai 26 ‘penjenayah bersenjata’ terbunuh akibat ketegangan itu, selain 18 anggota keselamatan turut maut dan lebih 740 cedera.

Sejumlah warga asing turut ditahan di Kazakhstan berikutan tunjuk perasaan itu, juga tragedi terburuk dalam sejarah 30 tahun yang menggemparkan negara terbesar di Asia Tengah itu.

Negara yang kaya sumber tenaga dengan 19 juta penduduk itu menyaksikan ketegangan berterusan selama seminggu, dengan puluhan individu terbunuh.

Jabatan Presiden Kazakhstan, dalam satu kenyataan, memaklumkan 5,800 individu ditahan secara keseluruhan untuk disoal siasat sebagai sebahagian daripada 125 siasatan berasingan berkait ketegangan itu.

Katanya, angka itu termasuk ‘sejumlah besar warga asing’, tanpa memberi perincian lanjut.

“Keadaan sudah semakin stabil di semua wilayah di negara ini, meskipun pihak keselamatan masih meneruskan operasi ‘pembersihan’,” menurut kenyataan yang dikeluarkan selepas Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev, mengadakan mesyuarat krisis.

Peningkatan harga minyak mencetuskan ketegangan di wilayah barat negara itu sejak seminggu lalu dan tersebar dengan pantas ke beberapa bandar besar, termasuk hab ekonomi Almaty, yang menyaksikan polis melepaskan tembakan peluru hidup.

Media tempatan yang memetik Kementerian Dalam Negeri hari ini melaporkan, kerosakan harta benda dianggarkan bernilai 175 juta euro (RM836 juta) manakala lebih 100 perniagaan serta bank diserang atau dirompak selain lebih 400 kenderaan dirosakkan.

Keadaan kini kembali tenang di Almaty, namun polis kadang-kala melepaskan tembakan ke udara bagi menghentikan orang ramai menghampiri dataran di pusat bandar.

Media tempatan turut melaporkan, pasar raya juga kembali dibuka hari ini berikutan kebimbangan kekurangan bekalan makanan.

-Berita Harian


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo