NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Taliban tuntut AS salur dana yang 'dibekukan'

Menteri Luar Taliban, Amir Khan Muttaqi

DOHA: Taliban sekali lagi mengulangi desakan terhadap Amerika Syarikat (AS) untuk menyalurkan dana menjangkau berbilion dolar yang 'dibekukan'.

Kerajaan Afghanistan turut menggesa supaya menghentikan sekatan dan senarai hitam, menerusi mesyuarat yang diterajui Menteri Luar Taliban, Amir Khan Muttaqi serta wakil khas AS untuk Afghanistan, Tom West.

"Dua delegasi berkenaan berbincang isu politik, ekonomi, kemanusiaan, kesihatan, pendidikan dan keselamatan, selain menyediakan kemudahan berkaitan perbankan serta tunai.

"Delegasi Afghanistan memberi jaminan keselamatan di pihak AS dan menggesa supaya dana untuk Afghanistan yang dibekukan, perlu disalurkan tanpa sebarang syarat.

"Senarai hitam dan sekatan perlu ditamatkan, manakala isu kemanusiaan dipisahkan daripada politik," kata jurucakap kementerian luar Afghanistan, Abdul Qahar Balkhi.

Washington merampas aset bernilai AS$9.5 bilion (RM40.09 bilion) yang dimiliki bank pusat Afghanistan.

Tabung Kewangan Dunia (IMF) dan Bank Dunia turut menggantung segala aktiviti di Afghanistan, dengan membekukan bantuan serta rizab bernilai AS$340 juta (RM1.48 bilion) yang diperuntukkan IMF, Ogos lalu.

Ekonomi Afghanistan dilaporkan merudum, dengan penjawat awam tidak dibayar gaji selama berbulan-bulan dan perbendaharaan gagal menjelaskan bayaran import.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengulangi amaran bahawa sekitar 22 juta rakyat, iaitu separuh daripada populasi Afghanistan, bakal berdepan kekurangan bekalan makanan yang meruncing ketika musim sejuk.

Ketua kerajaan Taliban, Mullah Mohammad Hassan Akhund, adalah antara individu yang disasarkan dalam sekatan oleh AS.

Negara kuasa besar berkenaan sehingga kini kekal dengan pendirian terhadap langkah sedemikian dan sedang merintis usaha bagi meraih sokongan rakyat Afghanistan.

"AS kekal komited untuk memastikan sekatan AS tidak menyekat kemampuan orang awam di Afghanistan untuk menerima sokongan kemanusiaan dari Kerajaan AS dan komuniti antarabangsa.

"Jabatan Perbendaharaan AS sudah memperuntukkan 'lampu hijau' ke arah penyaluran bantuan kemanusiaan secara berterusan kepada rakyat Afghanistan dan lain-lain aktiviti yang menyokong keperluan asas manusia," kata jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price, menerusi kenyataan.

AS turut menggesa Taliban untuk menyediakan akses pendidikan untuk wanita dan kanak-kanak perempuan di seluruh negara berkenaan, selain menyatakan kebimbangan terhadap dakwaan penindasan hak asasi manusia.

Taliban setakat ini menyifatkan hasil rundingan adalah positif, malah Muttaqi turut berpeluang mengadakan pertemuan dengan Duta Jepun dan Jerman ke Afghanistan di Doha. - AFP



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo