NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kes gangguan seksual babit pendakwah terkenal masih belum ditutup

Pendakwah Selebriti, Ustaz Ebit Lew


KUALA LUMPUR: Kes gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew tidak diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA), sebaliknya siasatan masih dijalankan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata pihaknya mengalu-alukan bantuan orang awam menyalurkan maklumat berkaitan untuk membantu siasatan.

"Kes itu tiada maklumat tambahan setakat ini. Ia masih disiasat dan tidak pernah ditutup.

"Kita juga mohon mereka yang ada maklumat kes itu tampil bantu siasatan," katanya kepada BH, hari ini.

Pada 20 Ogos lalu, media melaporkan siasatan ke atas Ebit Lew dilakukan berikutan aduan diterima polis daripada beberapa individu yang mendakwa pendakwah itu melakukan gangguan seksual.

Sehari sebelum itu, Ebit Lew, 37, dipanggil ke Bukit Aman, bagi membantu siasatan berhubung kes gangguan seksual dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), JSJ Bukit Aman.

Pendakwah itu mendakwa dipanggil ke Bukit Aman berhubung fitnah yang sangat melampau terhadap dirinya.

Dalam perkembangan lain, Abd Jalil berkata, pihaknya masih memburu pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown susulan waran tangkap dikeluarkan ke atas wanita itu.

"Kita masih giat mengesan pengarang berkenaan selepas gagal menghadiri pertuduhan kes fitnah (Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah)," katanya.

Orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi Ketua Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Superintendan Junainah M Kasbollah atau pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd Khairul Ridzuan Khiruddin masing-masing di talian 017-6404440 dan 019-7051222.

Rewcastle-Brown dikehendaki bersabit waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Terengganu pada 23 September lalu berikutan kegagalan hadir pertuduhan kes fitnah terhadap Sultanah Nur Zahirah.

Wanita itu berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui buku 'The Sarawak Report - The Inside Story of the 1MDB Expose'.

Sebelum ini, Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman fitnah terhadap pengarang Sarawak Report itu berhubung fitnah dalam buku berkenaan dan menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta.

Sultanah Nur Zahirah yang memfailkan saman pada 21 November 2018, mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terbabit dalam amalan rasuah serta mencampuri urusan pentadbiran kerajaan Terengganu.

Selain itu, kenyataan itu kononnya baginda menggunakan status untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian dikenali 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Baginda turut mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda membantu ahli perniagaan dalam buruan Jho Low atau Low Taek Jho menjadi Penasihat TIA. -BH



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo