NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perubahan, pembaharuan landskap politik negara perlu keberanian – Muhyiddin




PERUBAHAN landskap politik negara, runtuhnya sistem politik dominan serta perlunya keberanian melakukan perubahan dan pembaharuan, adalah antara perkara yang dibangkitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika berucap di depan hadirin Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan Ke-50, di ibu negara semalam.

Isi kandung ucapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu adalah rangkuman keadaan politik semasa negara yang sedang melalui perubahan ketara dan sangat signifikan sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Antaranya, Barisan Nasional (BN) sebelum ini menguasai dan mendominasi keseluruhan sistem politik serta kerajaan tetapi kini terpaksa bersaing sengit dengan gabungan parti-parti politik baharu.Perkara ini berlaku di peringkat nasional dan beberapa negeri selepas gabungan parti baharu itu mengambil bahagian dalam pilihan raya dan berjaya membentuk kerajaan seperti berlaku di Sabah dan Sarawak. Dalam senario berkaitan, BN mendapat sokongan PN membentuk Kerajaan Persekutuan tetapi bersaing sesama sendiri di peringkat negeri seperti berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November lalu.

Sebelum ini, parti-parti lain di luar BN sekadar menjadi pembangkang yang lemah dan taringnya tumpul sehingga sukar mengganggu gugat kerajaan. Namun Muhyiddin menyifatkan, sistem politik yang didominasi parti tertentu mempunyai banyak kelemahan. Pemusatan kuasa yang berlaku menyebabkan semak dan imbang sukar dilakukan dalam pentadbiran kerajaan.

“Segala keputusan hanya dibuat oleh pemimpin parti atau sebilangan orang yang menyokong pemimpin parti itu,” kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu.

Beliau berkata, sistem politik itu yang mampu mewujudkan kestabilan politik pada awalnya dilihat berkesan untuk memacu pembangunan negara yang pesat. Namun, lama kelamaan kuasa politik yang dominan semakin berpusat kepada individu yang memimpin parti dan kerajaan. Ahli-ahli parti akur dengan setiap keputusan dan tindakan pemimpin parti walaupun ia tidak semestinya betul.

Malah, penyelewengan dan pelanggaran undang-undang oleh pemimpin parti juga sering berlaku tetapi dipandang sepi pimpinan parti yang lain kerana mereka takut tersingkir daripada parti yang berkuasa dominan dalam kerajaan.

“Tidak ramai yang mahu mengambil risiko untuk menyatakan perkara yang betul dan benar,” katanya.

Dalam ucapan semalam juga, Muhyiddin mendedahkan ada pihak yang turut sama melakukan penyelewengan dan salah guna kuasa kerana mereka beranggapan akan dilindungi selagi mana mereka menyokong pemimpin parti yang mendominasi kerajaan.

Kesannya, kata beliau, penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah terus berlaku sehingga soal integriti, amanah dan tanggungjawab kepada rakyat tidak lagi menjadi keutamaan.

Namun Muhyiddin percaya, rakyat Malaysia kini semakin bijak menilai dan mereka tidak akan berkompromi dengan mana-mana parti yang menggadaikan prinsip dan nilai integriti serta penanggungjawaban kepada rakyat.

“Kerana itu, sistem parti dominan telah runtuh selepas PRU14. Barisan Nasional tidak lagi menjadi kerajaan yang memerintah di peringkat Persekutuan. Di Sarawak, parti-parti yang dahulunya merupakan komponen BN telah mewujudkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk mentadbir kerajaan negeri Sarawak secara sendiri. Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah pada tahun lalu, parti-parti politik yang bertanding telah membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mentadbir kerajaan negeri Sabah selepas pilihan raya,” katanya.

Semalam, beliau turut mengulangi ketegasan bahawa sokongan PN sebagai sebuah parti mendokong prinsip integriti, meletakkan asas yang jelas dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan mahupun negeri iaitu sokongan PN kepada kerajaan pada hari ini adalah tertakluk kepada kepatuhan kerajaan terhadap prinsip dan nilai integriti.

“Ini termasuk syarat untuk terus menentang rasuah dan salah guna kuasa serta tidak sekali-kali mencampuri urusan mahkamah. Institusi mahkamah termasuk agensi pendakwaan mestilah dipastikan bebas untuk menegakkan keadilan tanpa diganggu-gugat oleh sesiapapun semata-mata untuk melindungi kepentingan pihak tertentu. Kerajaan juga tidak boleh tunduk kepada tekanan kumpulan kleptokrat demi kepentingan diri mereka sendiri. Saya ingin menegaskan bahawa PN mempunyai tanggungjawab moral untuk memberikan sokongan kepada kerajaan selagimana prinsip ini dipatuhi,” katanya.

“Kita mestilah berani untuk melakukan perubahan dan pembaharuan. Kita tidak boleh membenarkan sistem politik negara kita dikawal oleh mereka yang rakus kuasa. Proses pembaharuan politik yang telah pun dimulakan oleh rakyat Malaysia mestilah diteruskan,” kata mantan Perdana Menteri itu lagi.

Pembaharuan dan perubahan politik yang ditawarkan PN yang dianggotai BERSATU, PAS, GERAKAN, STAR dan SAPP adalah mewujudkan sebuah kerajaan lebih bersih iaitu pentadbiran yang prihatin rakyat, cekap, telus dan berintegriti.

Muhyiddin juga acap kali menzahirkan rasa optimis dengan kemampuan dan prestasi PN pada PRU15 akan datang kerana sudah ada tanda-tanda positif menunjukkan gabungan itu semakin diterima rakyat kerana PN menawarkan pentadbiran yang prihatin rakyat dan berintegriti yang diyakini selari dengan nilai dan aspirasi majoriti rakyat di negara ini.

Beliau memberi contoh pada PRN Sabah, PN mendapat sambutan amat baik daripada rakyat Sabah sehingga memenangi sejumlah kerusi yang terbesar dalam kalangan parti-parti yang membentuk GRS manakala bagi PRN Melaka menyaksikan peralihan sokongan ketara kepada PN terutamanya kalangan pengundi muda.

“Saya optimis bahawa Perikatan Nasional akan menjadi gabungan politik pilihan rakyat dalam Pilihanraya Umum ke-15 nanti,” katanya.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo