NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tawaran spektrum 5G PERCUMA sehingga Mac 2022 - DNB



PUTRAJAYA: Digital Nasional Bhd (DNB) akan menawarkan spektrum 5G secara borong tanpa kos kepada semua pengendali rangkaian mudah alih (MNO) bermula 15 Disember 2021 hingga 31 Mac 2022 sempena pelancaran komersial rangkaian itu di Malaysia.

Ketua Pegawai Komersial DNB, Ahmad Taufek Omar, berkata tawaran bagi tempoh percubaan komersial itu terpakai untuk semua tapak 5G yang akan siap di seluruh Putrajaya, Cyberjaya dan sebahagian Kuala Lumpur bulan ini.

Beliau berkata, setakat ini, satu MNO sudah mengesahkan minat untuk bersama DNB, yang juga anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan (Diperbadankan) bagi menyediakan pengalaman rangkaian 5G kepada pengguna akhir.

Katanya, DNB sedang aktif berunding dengan lima lagi MNO di negara ini untuk bersamanya bagi pelancaran komersial rangkaian 5G.

"Bermula 15 Disember 2021 hingga 31 Mac 2022, kami menawarkan perkhidmatan 5G secara borong tanpa kos kepada MNO.

"Dijangkakan lebih banyak MNO akan menyertai kami dalam tempoh dua minggu lagi. Perbincangan yang sedang berlangsung sekarang ini adalah positif," katanya pada Preview Media: 5G Kini Sedia di Malaysia yang diadakan di sini, hari ini.

Mengulas sama ada pengguna akhir bakal menikmati perkhidmatan 5G secara percuma dalam tempoh percubaan komersil itu, Ahmad Taufek berkata, perkara itu bergantung kepada syarikat telekomunikasi untuk menentukannya.

Beliau berkata, perkhidmatan runcit membabitkan 5G di negara ini adalah di bawah tanggungjawab syarikat telekomunikasi, manakala DNB hanya menyediakan perkhidmatan borong, yang mana pelanggannya adalah MNO.

"Sebagai penyedia perkhidmatan borong 5G, kami tidak bersaing dengan industri untuk menyediakan perkhidmatan runcit 5G kepada pengguna akhir.

"Sebaliknya, DNB sedang melengkapkan usaha oleh MNO untuk mempercepatkan penggunaan 5G di negara ini. Pengguna akhir digalakkan untuk menghubungi penyedia perkhidmatan masing-masing untuk bertanya mengenai ketersediaan 5G," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi DNB, Ken Tan, berkata pihaknya akan menyediakan perkhidmatan borong 5G kepada MNO pada kos yang jauh lebih rendah berbanding kos semasa mereka untuk menghasilkan kapasiti 4G.

Justeru, beliau berkata, MNO seharusnya dapat menawarkan harga yang lebih rendah kepada pelanggan mereka untuk perkhidmatan mudah alih terutama jalur lebar mudah alih, yang akan merangkumi perkhidmatan 5G.

"Ketersediaan perkhidmatan 5G membuka inovasi baharu dan menarik, dengan kelajuan ketersambungan yang dipertingkatkan dengan ketara mampu menyokong penggunaan penstriman dan muat turun kandungan video berkualiti, permainan berasaskan awan serta kandungan AR/VR," katanya. -BH



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo