NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Masalah sungai dicemari sampah hampir selesai - Hasni

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad


JOHOR BAHRU: Masalah sungai dicemari sampah sehingga mendapat teguran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, akan diselesaikan dengan segera.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, perkara itu sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri dan beberapa pelan tindakan juga sudah dibuat khusus bagi mengatasi masalah berkenaan.

Katanya, semua agensi terbabit diminta mempercepatkan pelaksanaan inisiatif dalam Rancangan Khas Kawasan (RKK) Sungai Skudai bagi mengatasi masalah yang berlaku dan melengkapkan pelan pemantauan sungai terbabit.

"Kita ada RKK Sungai antaranya Sungai Skudai membabitkan agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Badan Kawal Selia Air (BAKAJ) dan untuk isu ini Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

"Waktu ini kita menunggu Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) sahaja untuk melengkapkan pelan pemantauan Sungai Skudai ini.

"Kita di peringkat negeri akan memastikan peruntukan yang disediakan itu dapat mengatasi masalah yang dihadapi sungai yang diancam pencemaran. Ia termasuk mereka yang duduk sebagai setinggan di sepanjang sungai ini juga sudah ada pelan perancangan untuk mengatasi masalah tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis perasmian JohorPay dan JoMS serta penyerahan dokumen kajian pelan induk digital negeri di sini, hari ini.

Hasni berkata, sistem pemantauan sudah ada dilakukan, dan kini pihaknya sedang melakukan projek perintis dari segi pengurusan sungai menggunakan bot.

"Ia sedang diuji (projek perintis) yang dijalankan, jadi apabila ada kerjasama daripada Pejabat Tanah, JPS, BAKAJ dan PBT, saya percaya itu semua merangkumi untuk menyelesaikan masalah pencemaran di Sungai Skudai dan Tebrau," katanya.

Selasa lalu, Sultan Ibrahim menzahirkan kekesalan baginda terhadap pemandangan Sungai Danga yang dicemari pelbagai sampah sarap dan mengotori sepanjang lembangan sungai itu.

Baginda turut menitahkan kerajaan negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, R Vidyanathan untuk memberi perhatian dalam menangani masalah pembuangan sampah di sungai-sungai di negeri ini. -BH



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo