MARANG: Dua ekor ular sawa batik ditemui di tapak pembinaan



MARANG: Seorang pekerja tapak binaan terkejut selepas menemui dua ekor ular sawa batik, dengan seekor daripadanya mencecah berat lebih 200 kilogram ketika sedang menjalankan kerja di kawasan tapak pembinaan di Kampung Gong Nangka, Marang pada Rabu.
Reptilia pertama seberat 250 kilogram dan sepanjang 5.79 meter ditemui kira-kira jam 1.55 petang dan pada jam 3.15 petang seekor lagi ular sawa ditemui berhampiran lokasi yang sama.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam, Daerah Marang Leftenan (PA) Mujahid Abd Wahab berkata, terdahulu pada jam 2 petang pihaknya telah menerima panggilan berhubung kehadiran ular tersebut dan tiga anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk menangkap reptilia itu.
Katanya, pihaknya mengambil masa 25 minit untuk menangkap dan memindahkannya ke dalam lori APM menggunakan jentolak dengan bantuan orang awam.
Bagaimanapun, pada jam 3.23 petang, APM Marang sekali lagi menerima panggilan daripada individu sama memaklumkan menemui seekor lagi ular sawa batik di kawasan sama.
Jelasnya, ular kedua yang ditangkap itu lebih kecil berbanding ular pertama, iaitu seberat lebih 100 kilogram dengan panjang 4.27 meter, dan anggota APM mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menangkapnya.
Menurut Mujahid, reptilia itu merupakan antara terbesar yang pernah ditangkap APM Marang pada tahun ini.
Mengikut rekod, setakat Januari hingga November lalu, sebanyak 1,103 ekor ular berjaya ditangkap oleh APM Marang.
Tambahnya, kedua-dua ular itu akan diserahkan kepada Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman untuk tindakan lanjut.
Katanya, orang awam juga dinasihatkan untuk berhati-hati dan tidak mengambil tindakan sendiri jika menemui haiwan berbisa dan berbahaya sebaliknya menghubungi APM daerah atau talian kecemasan. -ASTRO AWANI


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo