Kes Pertama Omicron dikesan di Malaysia

KHAIRY: Kes melibatkan seorang pengembara bukan warganegara berusia 19 tahun yang tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November 2021.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan kes pertama varian yang dibimbangi (VOC) Omicron di negara ini, melibatkan seorang pelajar warga asing berusia 19 tahun, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, individu tersebut merupakan seorang pelajar universiti swasta di Ipoh, Perak, dan telah didapati positif COVID-19 pada 19 November lepas, dan telah selesai menjalani kuarantin kendiri pada 29 November lepas.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, kes itu didapati daripada ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan terhadap 74 sampel positif COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa KLIA, antara 11 November hingga 28 November, 2021.
“Hasil daripada ujian PCR Genotyping Assay, satu daripada sampel telah dikesan berkemungkinan besar adalah VOC Omicron. Jujukan genom seterusnya dilaksanakan mendapati keputusan positif bagi varian Omicron pada 2 Disember 2021.
“Kes telah diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan menjalani kuarantin wajib di penginapan yang disediakan oleh pihak universiti di Ipoh. Perjalanan kes dari KLIA ke Ipoh adalah menggunakan bas yang disediakan khas oleh pihak universiti,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (Institute for Medical Research - IMR) telah mengesahkan sampel ujian saringan tersebut positif COVID-19 dengan CT Value 26.68, pada 20 November 2021, sebelum jujukan genom mengesahkan ia VOC Omicron pada 2 Disember.
Pengesanan kontak rapat, ujian saringan dan kuarantin wajib, katanya lagi, telah dijalankan ke atas semua penumpang bas dan pemandu iaitu seramai lima orang, dan saringan awal mendapati mereka kesemua negatif.
Dalam pada itu, Khairy berkata, langkah pengesanan awal Omicron dilakukan lebih awal, sebelum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan ia sebagai varian yang dibimbangi (VOC) pada 24 November lagi.
Kes pertama varian Omicron dikesan di Malaysia
“Kes ini menunjukkan surveillance genomic kita dapat mengesan varian baharu, dan kedua, oleh kerana kes ini berlaku pada 19 November, sebab itu kita buka balik kes dahulu, untuk kita laksanakan PCR Genotyping Assay, dan seterusnya lakukan whole genomic sequencing, kita dapati sistem kita berkesan.
“Sama ada kuarantin kita, pengesanan kontak rapat kita, pre-departure dan on arrival kita berkesan, dan dalam kes ini … walaupun kes import, tapi oleh kerana sistem kita berkesan, kes ini setakat ini tidak menyebabkan kes lain berlaku dari indeks kes tersebut,” katanya lagi.
Namun, Khairy berkata, KKM akan terus mempergiatkan usaha untuk meningkatkan jumlah peratusan dos lengkap bagi populasi keseluruhan negara, serta mensasarkan sehingga 75 peratus untuk dos penggalak. -ASTRO AWANI



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo