NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Gagal jaga keselamatan pekerja, Syarikat didenda RM50,000



SHAH ALAM: Sebuah syarikat pembinaan didenda maksimum RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas gagal memastikan keselamatan dan kebajikan pekerjanya sehingga menyebabkan seorang pekerja warga Indonesia meninggal dunia.

Hakim Rofiyah Mohammad menjatuhkan hukuman itu ke atas syarikat HAB Construction Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya, Haw Wei Sheng, 32, selaku orang kena saman (OKS) selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan kes melampaui keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Rofiyah tidak membenarkan penangguhan bayaran dan memerintahkan denda itu dijelaskan hari ini.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu sebagai majikan didakwa gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan ketika bekerja kepada semua pekerjanya seperti yang perlu ketika pengoperasian kren menara sehingga menyebabkan kemalangan pekerja ditimpa struktur kren menara.

Syarikat itu didakwa melakukan kesalahan itu di tapak cadangan pembangunan bercampur di Persiaran Multimedia, Seksyen 7, di sini pada jam 10.30 pagi, 2 Januari 2018 mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan dihukum mengikut Seksyen 19 akta sama iaitu denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Dalam kejadian itu, mangsa Matrais, 38, meninggal dunia dan tiga lagi pekerja, Sudami (Indonesia), 50, dan dua warga Bangladesh, Toffazal Hossain, 41, serta Raja Miah,33, cedera selepas kren tumbang di tapak pembinaan berkenaan.

Ketika rayuan, syarikat itu yang diwakili peguam Arif Asyraf Mohd Khairi memohon dikenakan denda minimum dengan alasan pihak OKS memberi kerjasama baik sepanjang perbicaraan berjalan.

"Atas rasa tanggungjawab, OKS juga membayar pampasan RM10,000 kepada keluarga si mati dan urusan penghantaran jenazah ke Indonesia, selain tiga yang lain turut ditanggung sepanjang rawatan di hospital.

"Saya juga memohon, jika mahkamah dapat menggunakan budi bicara memberikan tempoh waktu sekurang-kurangnya minggu ini bagi pihak OKS menyempurnakan denda itu," katanya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JPKKP) Selangor, Mohd Nizam Teh Kamaruddin memohon hukuman setimpal mengambil kira faktor kepentingan awam, selain kematian pekerja itu dapat memberi pengajaran kepada OKS serta majikan lain.

Pada prosiding itu, pendakwaan turut dikendalikan Pegawai Pendakwa JPKKP Selangor, Maizura Yusof dan Mohd Khairi Mohd Yatim, manakala tertuduh turut diwakili peguam Mohd Khairul Brian serta Muhamad Syah Azlan.

Seramai lapan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan bermula 22 April 2021, selain 37 eksibit dikemukakan sepanjang kes berlangsung. – BERNAMA




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo