NOTIS:

Belum ada lagi....

Data banjir panduan rancang pembangunan masa hadapan

0

BEBERAPA hari sebelum banjir besar berlaku, Lembah Klang dan kawasan sekitarnya mengalami hujan tanpa berhenti dan suhu amat rendah mencapai 27 darjah Celsius.

Pada Sabtu lalu, hujan terus mencurah lebat sehingga menyebabkan banjir besar di seluruh kawasan rendah di Lembah Klang, terutama di Kuala Lumpur, Shah Alam dan Klang. Ramai menyatakan banjir kali ini paling besar pernah mereka lalui sejak lebih 40 tahun tinggal di sini.

Sebetulnya, banjir besar Kuala Lumpur 1971 mungkin lebih besar. Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad ditenggelami air lebih satu meter ketika itu.

Masih teringat ketika tinggal di Kuala Terengganu pada 2014, hujan melanda tanpa henti berminggu-minggu sehingga air terus naik hampir memasuki rumah. Sementara di luar rumah, seluruh kawasan ditenggelami air.

Itulah kali pertama merasai suasana banjir besar, di mana landskap keliling rumah seperti lautan. Ketika itu, sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), penulis bersama pegawai penyelamat keluar meninjau keadaan banjir, memindahkan pelajar ke asrama dan menyediakan bekalan makanan.

Peristiwa banjir di Pantai Barat berbeza dengan keadaan di Pantai Timur. Angin Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh hanya mampu mencurahkan hujan lebat di Pantai Timur.

Banjaran Titiwangsa menjadi penghalang hujan yang banyak diturunkan di Pantai Barat, termasuk di Lembah Klang. Oleh itu, peristiwa banjir di Pantai Timur berlaku hampir setiap tahun, sementara di Pantai Barat tidak ramai yang menduga berlaku banjir besar seperti yang terjadi sekarang.

Banjir kilat memang lazim di kawasan Kuala Lumpur apabila hujan lebat beberapa jam. Ia berlaku secara tempatan dan surut pada masa singkat.

Banyak usaha tebatan banjir untuk mengatasi situasi begini dilakukan kerajaan, termasuk pembinaan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART).

Fenomena iklim yang berlaku dari semasa ke semasa, hanya boleh diramal dan dimaklumkan kepada masyarakat untuk mengambil langkah berjaga-jaga. Kejadian banjir besar kali ini dikaitkan dengan kehadiran lekukan tropika atau sistem tekanan rendah yang bergerak melalui bahagian tengah Semenanjung dari Laut China Selatan ke Selat Melaka.

Lazimnya, sistem begini kehilangan tenaga apabila melalui daratan dan beransur menghilang. Kali ini sistem berkenaan diaktifkan semula oleh luruan sejuk angin Monsun Timur Laut menyebabkan hujan lebat berpanjangan di Lembah Klang dan kawasan di sekitarnya.

Tambahan pula, ketika ini air pasang tinggi menyebabkan aliran Sungai Klang dan Sungai Langat bergerak perlahan untuk sampai ke laut.

Kita sedia maklum, faktor pencetus banjir ialah hujan berpanjangan atau terlampau lebat, tetapi mengapa hanya sebahagian kawasan dilanda banjir?

Faktor penyebab pertama ialah keupayaan tanah untuk menyerap dan menyimpan air sebelum dialirkan ke dalam sungai. Hujan berpanjangan menyebabkan tanah menjadi tepu dan hujan yang mencurah terus dialirkan ke sungai.

Ini yang berlaku di Lembah Klang, hujan beberapa hari lebih awal menyebabkan penepuan tanah permukaan, manakala hujan berikutnya menyebabkan air mengalir di permukaan bumi dan banjir naik mendadak.

Kehadiran prasarana seperti bangunan, sistem jalan dan kawasan yang diturap memburukkan lagi keadaan.

Ramai tidak menyedari faktor kedua penting ialah kebanyakan kawasan perumahan dan perindustrian di Lembah Klang dibina di kawasan 'dataran banjir'.

Oleh kerana permintaan tinggi, dataran rendah sepanjang pesisir sungai, tanah paya dan gambut ditambak untuk membina bangunan. Semua ini adalah dataran banjir Sungai Klang dan Sungai Langat.

Pembentukannya disebabkan peristiwa banjir yang berulang sejak jutaan tahun lampau. Bayangkan, tebal endapan lumpur yang terbentuk selepas proses banjir di kediaman anda.

Jika dikorek tanah di dataran ini, anda dapati lapisan lumpur dan pasir terendap berselang-seli, puluhan meter tebalnya hasil ribuan peristiwa banjir pada masa silam.

Hakikat perlu diakui bahawa banjir besar kali ini adalah peristiwa terkini daripada proses pembentukan dataran banjir di Lembah Klang.

Dilihat impak banjir yang melanda, kita cukup simpati dengan mangsa yang berhadapan pelbagai kesukaran dan kerugian. Ini menyebabkan kita perlu mengambil tindakan drastik untuk menghindar banjir pada masa hadapan.

Soalnya, apakah kita sekadar mengambil tindakan yang biasa-biasa atau berani berubah ke arah masa hadapan yang sejahtera dan bebas banjir?

Bagaimana kita secara individu dan juga negara boleh meminimumkan risiko bencana banjir?

Pertama, pengetahuan mencukupi untuk membuat keputusan bermaklum dan meningkatkan kesedaran masyarakat. Peristiwa ini walaupun bencana kepada sejumlah penduduk Lembah Klang, tetapi ia juga suatu pemberian untuk mengenali sifat bencana alam.

Kita perlu memetakan setiap tempat, keluasan dan kedalaman banjir sebagai data penting bagi membuat keputusan pembangunan pada masa hadapan.

Kehidupan ini bukan hanya untuk generasi kita, tetapi untuk anak cucu juga. Justeru, maklumat ini berguna untuk mereka meneruskan kehidupan.

Cara terbaik untuk mengatasi isu banjir secara jangka panjang ialah perancangan pembangunan masa hadapan berasaskan banjir. Semua pembangunan masa hadapan dan perancangan pembaharuan bandar perlu mengambil kira 'paras tinggi munasabah' garis banjir tempatan atau reka bentuk bangunan yang mengambil kira faktor banjir.

Apakah yang perlu dilakukan untuk penempatan sedia ada? Tidak banyak boleh dilakukan untuk menghindar berlaku banjir pada masa hadapan. Begitupun, banyak mampu dilaksanakan dari perspektif mengurangkan risiko banjir.

Berdasarkan maklumat banjir semasa, pengubahsuaian untuk menempatkan barang atau menyelamatkan diri boleh disediakan di setiap rumah atau kawasan kejiranan.

Lebih penting jika ingin berpindah, apakah pertimbangan anda? Rumah berhampiran tempat kerja atau kawasan tiada risiko banjir?

Pada masa ini, tanggungjawab mengurus banjir diserahkan kepada jabatan teknikal iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Sememangnya jabatan ini sesuai untuk mengurus perparitan dan saliran serta tebatan banjir, begitupun isu risiko dan impak banjir bersifat lebih meluas.

Namun, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, majlis daerah serta kerajaan tempatan perlu diberikan peranan lebih penting dalam urusan perancangan dan kelulusan pembangunan serta perhatian kepada matlamat banjir sifar.

***Penulis adalah Ketua Pasukan Bertindak Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM) dan Felo Utama UKM

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo