NOTIS:

Belum ada lagi....

Banjir Kuantan, bumbung rumah bukan lagi tempat selamat

0

KUANTAN: Berada di bumbung disangka sudah cukup tinggi. Ternyata tetap tidak selamat buat dua beranak yang terperangkap banjir di Kampung Batu Sawar, Bukit Kuin, di sini.

Sahadan Ibrahim, 54, berkata dia dan anaknya, Fikri, 21, membuat keputusan untuk memanjat bumbung rumah kongsi dihuni mereka, apabila banjir mula melanda pada 11 malam semalam, sebelum meningkat secara mendadak pada 2 petang tadi.

"Paras air semakin menghampiri kami menyebabkan kami mula berfikir sama ada mahu terus bertahan di atas bumbung. Selepas berbincang, kami nekad untuk berenang ke arah rumah dua tingkat yang terletak kira-kira 50 meter.

"Syukur kami selamat walaupun arus deras dan dapat bertahan di bumbung rumah itu sehingga diselamatkan seorang penduduk kampung yang menaiki bot fiber," katanya semasa ditemui di Jambatan Sungai Riau, Bukit Kuin, hari ini.

Sahadan yang bekerja sebagai tukang kimpal memberitahu mereka pada awalnya berhasrat 'mahu bertahan' di rumah kerana beranggapan banjir tahun ini tidak terlalu teruk, namun sangkaan itu meleset.

Banjir kali ini, menurut Sahadan, yang paling teruk pernah dialaminya sejak mula menetap di Bukit Kuin lima tahun lalu.

"Air naik dengan cepat dan walaupun sudah meletakkan barang penting di bahagian tinggi. Akhirnya semuanya tidak dapat diselamatkan kerana kami tidak sempat mencapainya (semasa mahu ke bumbung) kerana fikiran semasa itu hanya mahu menyelamatkan diri," katanya.

Sementara itu, Sulaiman Roslan, 25, berkata dia bergegas mencari bapa mentuanya selepas menerima panggilan daripada Sahadan pagi ini memaklumkan mereka mahu memanjat bumbung bagi menyelamatkan diri.

Sulaiman berkata, setibanya di Bukit Kuin, dia agak buntu cara mahu ke kampung itu kerana laluan masuk sudah ditenggelami air, namun ada penduduk kampung menyediakan perkhidmatan sewa bot untuk ke seberang.

"Sedang berkira-kira apa yang hendak dilakukan, saya melihat bot dinaiki bapa mentua dan adik ipar menghampiri tempat kami berkumpul.

"Alhamdulillah semuanya selamat walaupun mereka tinggal sehelai sepinggang," katanya. – BERNAMA



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo