70,000 anak ikan tilapia mati akibat banjir


MASJID TANAH: Sebanyak 70,000 anak ikan tilapia merah yang baru empat hari dilepaskan ke sangkar penternakan dalam sungai di Kuala Linggi, dekat sini, mati akibat banjir.

Arus deras dalam Sungai Linggi berikutan hujan lebat di bahagian hulu, menyebabkan anak ikan terbabit projek penternakan ikan air payau oleh Jabatan Perikanan Melaka itu tidak mampu bertahan.

Pengarah Perikanan Melaka, Mohd Fauzi Salehon, berkata hujan lebat bermula jam 3 petang 17 Disember lalu mengakibatkan arus sungai itu menjadi deras dan kekeruhan air berubah dengan ketara.

"Kualiti air Sungai Linggi mengalami perubahan kadar kemasinan yang mendadak dan kadar kekeruhan air meningkat akibat kelodak yang dibawa arus sungai.

"Kadar oksigen dalam sungai menjadi tidak stabil dan ia menyebabkan anak ikan tilapia mengalami tekanan sebelum mati," katanya kepada BH, hari ini.

Anak ikan terbabit dilepaskan pada 14 Disember lalu ke dalam 64 sangkar yang petaknya diperbuat daripada besi tahan karat, manakala jaring diperbuat daripada nilon tahan rendaman air payau.

Sangkar yang setiap satu berukuran 3x4 meter itu dibina dengan pelaburan RM400,000 oleh Jabatan Perikanan, di perairan Kuala Linggi yang juga lokasi pertembungan air masin laut dengan air tawar Sungai Rembau.

Sauh yang sukar tercabut dari dasar sungai pula dipasang di bahagian kiri dan kanan, selain depan serta belakang keseluruhan rangkaian sangkar berkenaan.

Bagi menjayakan projek itu, jabatan berkenaan memilih 16 peserta yang meliputi nelayan sungai di Pangkalan Paya Lebar, Telok Berembang, Ramuan Cina, Linggi serta Tebing Urut, dan nelayan pinggir laut di Kuala Linggi.

Ketua nelayan bagi projek itu, Azmi Mohd Nordin, berkata kejadian disedari pada malam 18 Disember lalu apabila anak ikan mati terbabit timbul di permukaan sungai.

"Beberapa peserta projek yang turun ke pelantar penternakan ikan sangkar berkenaan pada malam itu, terkejut apabila mendapati anak ikan sudah mati akibat banjir," katanya.

Meskipun kecewa, katanya, 16 ahli projek berkenaan tetap bersabar menghadapi ujian Allah SWT.

Susulan itu, beliau berkata, nelayan berkenaan terpaksa menunggu peruntukan lain bagi mendapatkan anak ikan tilapia yang dijangka pada Januari tahun depan. -BH




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo