NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

122 cerun berisiko tinggi runtuh dikenal pasti - JMG



KUALA MUDA: Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mengenal pasti 122 daripada 220 cerun di seluruh negara berada dalam keadaan kritikal dan berisiko tinggi untuk berlaku runtuhan ketika musim tengkujuh.

Ketua Pengarahnya, Hisamuddin Termidi, berkata semua cerun itu sedang dipantau jabatan berkenaan dan diberi keutamaan untuk pemasangan sistem amaran awal yang dilengkapi siren supaya penduduk dapat mengambil tindakan menyelamatkan diri.

"Antara kawasan yang dikenal pasti paling berisiko adalah Jalan Genting Peres-Kuala Klawang, Jalan Sungai Tekali, Ulu Langat dan Sungai Penchala.

"Sungai Penchala paling teruk seperti kejadian yang berlaku baru-baru ini menyebabkan tanah runtuh dan kemusnahan," katanya selepas majlis perasmian dan penyerahan Telaga dan Sistem Penapisan Air Bawah Tanah Ringkas (SPATR) di Loji Rawatan Air (LRA) Tupah, Merbok di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Suraya Yaacob, Pengarah JMG Kedah, Abdullah Sulaiman dan Pengarah Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK), Noorulhuda Mohammed Ali.

Hisamuddin berkata, pihaknya bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk menempatkan sistem amaran awal itu.

"Saya difahamkan, UTM mendapat teknologi dan peralatan dari Jepun untuk tujuan itu dan buat masa sekarang kita sedang tunggu masa yang sesuai.

"Apabila mendapat persetujuan UTM, kita akan buat rundingan untuk tempatkan sistem amaran awal ini di kawasan yang dipersetujui bersama," katanya.

Media semalam melaporkan, sebanyak empat rumah rosak dan seorang wanita warga emas cedera selepas berlaku tanah runtuh di Jalan Palimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur, pada jam 1.22 pagi.

Ditanya mengenai kejadian kepala air di sebuah pusat peranginan di Bentong, Pahang pada Sabtu lalu, beliau berkata, pihaknya masih belum dapat melakukan siasatan kejadian tanah runtuh.

"Ini kerana belum ada jalan untuk memasuki ke kawasan punca berlakunya kejadian itu," katanya.



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo