Responsive Ad Slot

PRN Melaka jadi tempat parti politik beradu kekuatan



SELEPAS berakhirnya proses penamaan calon semalam, seramai 112 calon daripada parti politik dan bebas layak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing meletakkan calon di semua 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru antara tiga blok utama ini memang sukar dielakkan, memandangkan tidak berlaku pakatan pilihan raya dalam pembahagian kerusi. Mungkin kerjasama hanya berlaku selepas pilihan raya bagi menubuhkan kerajaan negeri jika tidak ada parti menguasai majoriti kerusi.

• Pertama, buat kali pertama wujud tiga blok utama parti politik berdaftar dan bertanding tanpa ada sebarang kerjasama dari segi pembahagian kerusi.

Sebelum ini, kita biasa melihat pertembungan dua blok besar parti politik dalam pilihan raya seperti antara BN dan PH (sebelum ini Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat). Selain BN dan PH, ketika itu wujud Gagasan Sejahtera dianggotai PAS, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), namun ia bukan kerjasama berdaftar selain kurang signifikan dalam politik dan pilihan raya di negara.

Meskipun PRN Melaka menyaksikan pertembungan tiga blok, banyak pihak melihat pertarungan antara BN dengan PH lebih relevan dan sengit. Kekuatan PN masih terlalu awal untuk diramal walaupun mempunyai kelebihan sebagai parti pemerintah.

• Kedua, pada kehangatan isu pengundi muda atau kempen Undi 18 tahun, sedikit mengecewakan apabila Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tidak menghantar sebarang pencalonan dalam PRN Melaka ini. MUDA didakwa tidak bertanding kerana tidak mahu bekerjasama dengan PH yang menerima 'katak politik.'

Ada pandangan mengatakan MUDA sepatutnya meletakkan calon dalam PRN Melaka bagi memulakan kempen anak muda dalam politik dan pilihan raya. Namun, ia bukan suatu yang mudah kerana penyertaan dalam pilihan raya memerlukan banyak faktor sokongan termasuk jentera dan kewangan.

Meskipun tanpa MUDA, calon muda tetap menjadi pilihan parti politik bertanding. Antara calon muda mencuri perhatian ialah Farzana Hayani Mohd Nasir berusia 21 tahun dan bertanding atas tiket PH (PKR) di DUN Sungai Rambai.

Beliau ialah mahasiswa di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Ketua Srikandi Keadilan Melaka. Meskipun ada khabar angin mengatakan beliau bermasalah untuk menjadi calon kerana masih menuntut di universiti, beliau lulus ujian dalam proses penamaan calon tanpa bantahan.

Selain Farzana Hayani, seorang lagi calon anak muda ialah Muhamad Danish Zainudin, berusia 25 tahun dan bertanding di DUN Pengkalan Batu atas tiket PH (DAP). Beliau ialah Setiausaha Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Melaka.

• Ketiga, masih ada parti politik mengekalkan calon lama kontroversi bagi kesinambungan. Dalam hal ini, PH (DAP) masih mempertaruhkan G Saminathan di DUN Gadek, meskipun calon pernah didakwa atas pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Namun, beliau dibebaskan Mahkamah Tinggi pada 25 Februari tahun lalu apabila Peguam Negara mengeluarkan arahan tidak meneruskan prosiding terhadap semua tertuduh mengikut Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Kes ini pernah menjadi isu hangat negara hingga mengocak sensitiviti masyarakat, terutama umat Islam, sekali gus menjadi antara punca keruntuhan kerajaan PH selepas itu.

Nasib G Saminathan umpama di hujung tanduk apabila hanya memperoleh 307 undi majoriti sahaja. DUN Gadek menyaksikan pertandingan enam penjuru antara BN, PN, PH, PUTRA dan dua calon Bebas.

• Keempat, selepas 47 tahun sejak Pilihan Raya Umum (PRU) pada 1974, PAS bersedia berkorban lambang parti dengan menggunakan lambang PN. Justeru, kita tidak akan temui lambang bulan menjadi identiti PAS dalam PRN kali ini.

Dahulu, soal lambang dan identiti cukup sakral kepada PAS. Parti itu pernah menolak cadangan menggugurkan lambang parti ketika bekerjasama dalam Barisan Alternatif (BA). Namun, politik itu seni serba berkemungkinan. Inilah bukti paling nyata.

• Kelima, masih relevankah politik pembangunan pada PRN Melaka? Politik dan pembangunan suatu yang sukar untuk dipisahkan. Pembangunan penting untuk rakyat bukan untuk tujuan politik, tetapi demi kesejahteraan mereka.

Namun, pembangunan juga boleh menjadi kempen tidak langsung dan gula-gula dalam politik khususnya pilihan raya.

Hasil pemerhatian penulis di Melaka hujung minggu lalu, ada jalan yang sedang diturap meskipun kelihatannya masih molek dan berkeadaan baik.

• Keenam, PRN Melaka berlangsung ketika negara masih dalam fasa pemulihan daripada pandemik COVID-19. Kempen secara fizikal tidak dibenarkan dan perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Gaya kempen norma baharu dalam PRN Melaka ini boleh menjadi panduan untuk pelaksanaan pilihan raya akan datang khususnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) demi menjaga keselamatan pengundi, calon dan petugas.

Ini juga sekali gus bakal mengubah suasana kempen dan persekitaran pilihan raya berbeza berbanding sebelum pandemik.

PRN Melaka bolehlah dianggap sebagai suatu pilihan raya mengejut. Sejak penarikan sokongan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 3 Oktober lalu, kerajaan Melaka runtuh dan tidak boleh diselamatkan lagi.

Persoalannya, siapakah untung dan rugi dalam PRN Melaka ini? Selepas penamaan calon ini, parti politik seperti mahu beradu kekuatan masing-masing tanpa segan silu. Bak kata pepatah, untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

Apa yang jelas, PRN Melaka ini akan banyak memberi petunjuk kepada hala tuju politik Malaysia menjelang PRU-15.

Penulis adalah Felo Penyelidik di Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia (UPM)



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo