Responsive Ad Slot

Muktamar yang mengecewakan musuh


MUKTAMAR PAS ke-67 baru sahaja berakhir di Kuala Terengganu. Muktamar ini telah bermula 2 hari sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Maka sudah tentu PRN tersebut telah turut tempias kepada acara tahunan itu. Ucapan para pimpinan dan perwakilan telah sedikit sebanyak menyentuhnya.

Satu keputusan yang bersejarah telah dibuat oleh PAS beberapa hari sebelum Muktamar itu berlangsung. Pada hari Isnin sebelum Muktamar, PAS telah mengumumkan keputusan agar calon-calon PAS pada PRN tersebut menggunakan simbol Perikatan Nasional dan bukan simbol bulan penuh PAS seperti biasa.

Ia merupakan kali pertama sejak 1974, PAS tidak menggunakan simbol sendiri. Pada Pilihan Raya Umum tahun tersebut PAS telah bertanding menggunakan simbol dacing Barisan Nasional kerana telah menyertai pakatan yang baharu dibentuk selepas peristiwa 13 Mei 1969. Malah terdapat cerita di mana lambang dacing itu dicadangkan oleh Presiden PAS ketika itu setelah kapal layar karam dipukul ombak besar politik negara.

PAS pernah berada di dalam pakatan-pakatan lain selepas itu. Sama ada Angkatan Perpaduan Ummah dalam tahun 1990, Barisan Alternatif dalam tahun 1999 dan Pakatan Rakyat dalam tahun 2013 namun PAS tetap menggunakan lambang sendiri. Mungkin ketiga-tiga pakatan itu tidak didaftarkan seperti Perikatan Nasional tetapi kita sedia maklum betapa sayang ahli-ahli PAS kepada lambang mereka. Jika disentuh bendera PAS, perlu bersedia berhadapan dengan ribut dan taufan.

Justeru itu tidak hairan jika terdapat mereka yang memusuhi dan mencemburui PAS mengharapkan satu tindak balas oleh pimpinan dan ahli-ahli akar umbi PAS sehubungan dengan keputusan tersebut. Mereka mengharapkan Muktamar tahun ini akan menjadi gelanggang untuk mereka yang tidak berpuas hati untuk bersilat dan berparang.

Tambahan pula setelah berkali-kali dicabar dan didesak oleh Umno untuk memilih mereka atau parti serpihan mereka, PAS akhirnya mengambil keputusan untuk bertanding di atas tiket Perikatan Nasional. Kononnya terdapat mereka di dalam PAS yang cenderung kepada Perikatan Nasional dan ada pula yang cenderung kepada Barisan Nasional. Musuh-muauh PAS sudah tentu mengharapkan satu pertembungan akan berlaku pada Muktamar kali ini.

Namun begitu mereka ternyata hampa kerana apa yang mereka harap-harapkan tidak berlaku. Mungkin ada yang mahu melihat pertembungan yang sengit seperti pada Muktamar 2015 di Kuala Selangor berulang-kembali. Tetapi penantian mereka berakhir dengan kekecewaan. Muktamar kali ini melihat pimpinan dan perwakilan membawa satu suara yang padu. Keputusan yang diambil oleh pimpinan tertinggi beberapa hari sebelum Muktamar dialu-alukan oleh para perwakilan. Satu demi satu perwakilan berucap dengan nada yang sama. PAS dilihat lebih kuat dan lebih padu selepas Muktamar kali ini. Bersedia untuk menghadapi apa sahaja cabaran di dalam perjalanan ke arah Pilihan Raya Umum ke-15 dengan hala tuju yang jelas.

Bagi mereka yang selama ini tidak menghormati PAS perlu berfikir dua kali. PAS bukan budak hingusan yang boleh ditunjal-tunjal kepalanya. Disuruh baring dia akan baring, disuruh duduk dia akan duduk dan disuruh berdiri dia akan berdiri. Belajarlah dari pengalaman mereka yang cuba menentukan hala tuju PAS dari luar. Malah ada yang cuba mencampuri urusan pemilihan PAS, cuba menentukan siapa yang memimpin PAS tetapi usaha-usaha mereka ini ternyata gagal.

Ahli-ahli PAS boleh berlemah-lembut menghulurkan tangan persahabatan, membantu mereka yang terbenam di dalam lumpur tetapi akan bertukar menjadi harimau yang ganas atau singa yang lapar jika dikhianati. Tidak gerun kepada halilintar membelah langit dan sudah tentu tidak kepada dentuman tanpa peluru meriam buluh. Komitmen terhadap penyatuan ummah bukan satu kelemahan tetapi adalah agenda global yang merentasi sempadan yang sentiasa cuba digagalkan oleh mereka yang mahu melihat umat Islam terus lemah.

Keputusan PAS mahu menganjurkan Muktamar adalah juga satu isyarat yang jelas kepada kawan dan lawan. Ia bukan sahaja Muktamar biasa tetapi Muktamar di mana terdapat pemilihan. Ketika terdapat parti yang teragak-agak kononnya akan berlaku perpecahan jika berlaku pemilihan sebelum pilihan raya, PAS telah meneruskan acara kemuncak tahunan tersebut meyakini akan kematangan ahli-ahli. Malah bukan sahaja pada peringkat tertinggi tetapi pemilihan berlaku pada semua peringkat bermula di peringkat Cawangan. Ia adalah satu petunjuk terhadap kesatuan ahli-ahli PAS.

Wala’ ahli-ahli kepada pimpinan seringkali menjadi bahan untuk memburuk-burukkan PAS. Namun begitu tidak ada guna tentera di dalam peperangan sekiranya gagal menurut perintah. Tidak dapat dinafikan pilihan raya adalah satu peperangan. Terdapat ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS di mana-mana sahaja. Hanya sepatah arahan daripada pimpinan akan menentukan kepada siapa undi mereka diberi. Maka sudah tentu PAS adalah kawan yang sepatutnya didekati tetapi bukan musuh yang perlu dicari

**DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD ialah Bendahari PAS Pusat

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000270189106/posts/4855400784478880/




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo