NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

MN, PN rintis peluang PH




SIAPA untung dan siapa rugi? Itu persoalan yang timbul apabila parti-parti politik yang membentuk kerajaan Pusat tidak senada mengenai kerjasama dalam menghadapi Pakatan Harapan (PH) semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Mungkin masing-masing sedang ‘mabuk kuasa’ atau ‘khayal’ dengan keupayaan dan kekuatan mereka yang belum diuji di gelanggang sebenar.

Parti-parti politik ini sedar kesan ‘perbalahan’ ini. Lebih banyak rugi dari untung. Umpama “Menang sorak kampung tergadai” ataua “Antan lesung berlaga sesama sendiri, beras tertumpah, ayam yang kenyang,”

Menyelak kembali kerjasama sebelum ini, melalui beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK), UMNO dan Pas bergerak bersama sehingga membentuk Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi Bersatu, PKR dan DAP yang bergabung melalui PH.

Kali ini Bersatu bukan lagi bersama PH tetapi mengetuai gabungan Perikatan Nasional (PN) bersama Pas dan Gerakan di Semenanjung di samping Star Sabah dan SAPP.
UMNO atau Barisan Nasional (BN) hanya menyokong sebagai parti politik bagi membentuk kerajaan baha bagi menggantikan PH. UMNO bukan komponen PN.

Pas pula yang bersama UMNO dalam MN akhirnya mengambil ketetapan untuk bersama Bersatu di bawah lambang PN semasa PRN Melaka 20 November ini. Sebagai komponen PN, Pas terpaksa melupakan ‘bulan’ semasa pilihan raya.

Lainlah jika Pas memilih MN – bertanding menggunakan lambang sendiri tetapi realitinya Pas lebih bersedia menerima Bersatu atas nama ‘perpaduan’ sedangkan UMNO tidak sesekali dapat menerima Bersatu. Semua orang tahu sebabnya.

Sejak awal lagi UMNO memutuskan tidak boleh bekerjasama dengan Bersatu. Banyak faktor yang membuatkan UMNO begitu terluka dan tidak mesra dengan Bersatu termasuklah tindak tanduk pemimpin parti itu terhadap UMNO.

Benar ‘mulut’ Pas pun apa kurangnya terhadap UMNO tetapi situasi berbeza dan sebelum kedua parti itu bermuafakat sedangkan anggota Bersatu rata-rata pernah menjadi keluarga UMNO. Pas sepatutnya lebih memahami situasi ini.

Cuba letakkan diri Pas dalam kedudukan UMNO. Agaknya apa perasaan Pas apabila serpihannya Amanah merendah dan memperlekehkan Pas dan pimpinannya yang pernah bersama. Besar kemungkinan Pas juga akan bersikap seperti UMNO.

Dan apabila PRN menyaksikan hubungan kerjasama terputus, azam Pas dan Bersatu sama-sama untuk ‘merobohkan’ UMNO semasa PRN, bagai merobohkan Kota Melaka. Bak kata orang berkerat rotan berpatah arang.

Siapakah yang harus dipersalahkan? Siapa yang benar? Sultan Melaka, Jebat atau Tuah?

PRN bukan PRK untuk menguji kekuatan. Sewajarnya masing-masing harus melihat kekuatan sendiri. Ukur baju di badan sendiri. Malangnya ini tidak terjadi sebaliknya Pas memilih jalan menyokong Bersatu dan bersedia menghadapi BN.

Adakah Bersatu dan Pas mampu merobek jika tidak mampu merobohkan kekuatan BN tetapi pada masa yang sama PN pula sebenarnya turut membantu mengukuhkan tembok kekuatan PH?

Bersatu yang menang dua kerusi dengan bergantung kepada kekuatan PH pada PRU lalu, kini mendapat kekuatan baharu daripada Pas yang tidak memenangi sebarang kerusi.

Bersatu sekurang-kurangnya akan mendapat undi daripada anggota Pas kerana Pas berjanji menyokong PN sekiranya di kawasan berkenaan berlaku pertembungan antara Bersatu dengan PN dan PH.

Maka sokongan kepada parti kerajaan Pusat – BN-Bersatu-Pas berpecah dua sedangkan PH mendapat sokongan padu gabungan pembangkang.

Tindak tanduk PN dan MN menguntungkan PH. Tidak keterlaluan jika dikatakan MN atas nama UMNO dan Pas serta PN atas nama Bersatu dan juga Pas sedang memudahkan langkah PH merintis kemenangan, kecuali berlaku sesuatu yang boleh mengubah fikiran pengundi.

Malahan tidak keterlaluan jika dikatakan sekurang-kurangnya PH sudah menang lapan kerusi ketika parti-parti politik sedang sibuk mengumumkan nama calon atau menjelang penamaan calon. Maknanya PH perlu lapan lagi kerusi.

Benarkah andaian ini atau jumlah itu lebih daripada lapan? Tidak mustahil kerana di atas kertas sokongan pengundi yang menyokong parti kerajaan sudah terbelah dua.

https://bebasnews.my/?p=72953
............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo