NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ivermectin tidak disyor dalam rawatan COVID-19 - Dr Noor Hisham


KUALA LUMPUR: Penggunaan ivermectin tidak disyorkan untuk dimasukkan dalam garis panduan rawatan COVID-19 sedia ada kerana ia tidak mengurangkan risiko penyakit COVID-19 tahap teruk.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata berdasarkan hasil dapatan kajian Ivermectin (I-TECH), Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan ia hanya digunakan dalam kajian klinikal dengan pemantauan.


Katanya, keputusan I-TECH juga selari dengan kajian berskala besar seperti IVERCOR-COVID19 dari Argentina dan TOGETHER dari Brazil yang tidak menyokong penggunaan rutin ivermectin dalam amalan klinikal rawatan COVID-19.

"Maklumat dari Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), Dr Kalaiarasu M Peariasamy menyatakan kadar kemerosotan penyakit COVID-19 kepada tahap teruk adalah sama di dalam kumpulan IVM (rawatan 5 hari ivermectin (0.4mg/kg/hari) berserta penjagaan standard) jika dibandingkan dengan kumpulan SOC (penjagaan standard), iaitu masing-masing pada 21.2 peratus dan 17.3 peratus.

"Menurut penyelidik utama kajian I-TECH, Dr Steven Lim Chee Loon, tiada perbezaan ketara didapati dari segi kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU), penggunaan alat bantuan pernafasan mekanikal, pemulihan simptom, parameter ujian darah dan resolusi imbasan X-Ray dada di antara kedua-dua kumpulan.

"Kebarangkalian untuk pulih dari gejala sepenuhnya pada hari kelima penyertaan di antara kumpulan IVM dengan SOC adalah hampir sama, di mana tiada perbezaan yang signifikan dari segi statistik (p=0.77)," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Kajian dijalankan KKM mendapat kelulusan Jawantankuasa Etika dan Penyelidikan Perubatan pada 25 Mei lalu dan didaftarkan di ClinicalTrials.gov pada 31 Mei bagi mendedahkan maklumat penting kajian I-TECH kepada umum.

Daripada 500 subjek yang didaftarkan dalam kajian itu di 20 hospital kerajaan dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) MAEPS, seramai empat individu dikecualikan kerana tidak memenuhi kriteria kajian, manakala enam individu lagi menarik diri atas sebab kebimbangan terhadap kesan sampingan ivermectin.

Subjek terakhir direkrut pada 9 Oktober lalu dan penilaian susulan terakhir adalah pada 25 Oktober.

Dr Noor Hisham berkata, analisis keselamatan melaporkan bahawa kejadian kesan sampingan adalah tiga kali lebih kerap di dalam kumpulan IVM berbanding kumpulan SOC, di mana kebanyakannya adalah kes cirit-birit.

"Terdapat trend pengurangan mortaliti dalam tempoh 28 hari bagi kumpulan IVM berbanding dengan penjagaan standard, namun trend pengurangan ini tidak mencapai keputusan statistik yang signifikan.

"Kajian I-TECH tidak dapat mengesahkan dapatan penggunaan ivermectin di hospital boleh mengurangkan kematian dalam tempoh 28 hari, berbanding dengan penjagaan standard saja kerana jumlah kematian adalah amat kecil (13/490) dan ini seterusnya menyebabkan penilaian yang terhad ke atas hasil dapatan itu," katanya.

Beliau berharap dapatan kajian tempatan itu dapat memberi pencerahan kepada pengamal perubatan dan juga orang ramai yang sering bertanya mengenai keberkesanan ivermectin dalam amalan klinikal rawatan COVID-19.

"Pengamal Perubatan diingatkan untuk tidak mengesyorkan penggunaan ivermectin termasuklah berkongsi pengiklanan mahupun penjualan secara haram ivermectin dengan tujuan merawat COVID-19 sehingga bukti saintifik yang lebih kukuh tersedia.

"Pasukan kajian I-TECH juga bercadang menghantar data kajian untuk diterbitkan di dalam jurnal 'peer-reviewed' bagi memberi maklumat tambahan kepada kajian-kajian ivermectin termasuklah meta-analysis," katanya.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo