Responsive Ad Slot

Agong perkenan tamat darurat di Sarawak


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat bagi Sarawak ditamatkan.

Pemangku Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, berkata ia berikutan permohonan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, untuk menamatkan darurat di negeri itu, pada sesi menghadap Seri Paduka di Istana Negara, semalam.

Beliau berkata, baginda memberi perkenan itu selepas memperhalusi sembah nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini, serta sembah taklimat Peguam Negara dan pandangan ketua agensi kerajaan, semalam, berhubung perkara berkenaan.

"Selepas mempertimbangkan permohonan Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan memperhalusi sembah nasihat Perdana Menteri, sembah taklimat Peguam Negara serta pandangan ketua agensi kerajaan, Seri Paduka memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat bagi Sarawak ditamatkan.

"Perkenan baginda terhadap penamatan Proklamasi Darurat bagi Sarawak adalah selaras Perkara 40 dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 31 Julai lalu, Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan Proklamasi Darurat di seluruh Sarawak, selama enam bulan bermula 2 Ogos hingga 2 Februari tahun depan, sekali gus menggantung pilihan raya negeri (PRN) daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.

Ia susulan Proklamasi Darurat yang diisytiharkan pada 11 Januari tahun ini di seluruh negara, tamat pada 2 Ogos lalu.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sepatutnya terbubar pada 7 Jun lalu, dan PRN Sarawak dikehendaki diadakan dalam 60 hari dari 2 Ogos mengikut Fasal (4) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak.

Azuan Effendy berkata, Yang di-Pertuan Agong telah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri di Istana Negara selama satu jam bermula jam 8 pagi tadi, untuk mesyuarat pra-Kabinet dan menerima sembah nasihat berhubung penamatan Proklamasi Darurat bagi Sarawak.

Baginda turut berkenan menerima menghadap Peguam Negara berhubung perkara sama, semalam, yang turut dihadiri Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh; serta Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad.

Menjelaskan lanjut, Azuan Effendy berkata, Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 membolehkan Yang di-Pertuan Agong menamatkan Proklamasi Darurat lebih awal selepas berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkenan Al-Sultan Abdullah untuk menamatkan Proklamasi Darurat lebih awal itu adalah satu keputusan yang rumit dan sukar, kerana baginda gusar dengan risiko peningkatan penularan COVID-19 jika PRN Sarawak diadakan.

"Pada hemat Seri Paduka, negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman COVID-19 dan penularan wabak ini juga masih pada tahap yang membimbangkan.

"Perkenan baginda kepada penamatan proklamasi darurat adalah satu keputusan yang sukar dan rumit.

"Namun, ia diperkenankan bagi memenuhi keperluan demokrasi dan mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan serta memberi mandat dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu.

"Sesungguhnya, Seri Paduka menegaskan, keselamatan serta kesejahteraan rakyat jelata perlu diberi keutamaan dan sentiasa mengatasi sebarang kepentingan peribadi serta politik," katanya.

-BH


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo