NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Apa sebenarnya COP26?




RAMAI yang memuji Menteri Alam Sekitar Dan Air, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di atas ucapan dalam Bahasa Melayu pada Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu atau United Nation Framework Convention on Climate Change (UNFCCC) atau dikenali juga sebagai COP26 di Glasgow, Scotland baru-baru ini. Ucapan beliau disanjung sebagai mengangkat martabat Bahasa Melayu dengan memperkenalkannya kepada dunia. Tetapi berapa ramai di antara kita yang mengetahui apakah itu COP26? Apa yang cuba dicapai oleh konvensyen tersebut? Apakah implikasinya jika ia gagal?

Satu perjanjian global, ‘The Glasgow Climate Pact’, telah dicapai pada COP26 dan Dato’ Seri Tuan Ibrahim berkata, keputusan tersebut penting dalam menyokong usaha di peringkat global bagi memastikan matlamat mengehadkan pemanasan global pada tahap 1.5 darjah Celsius tercapai. Walau bagaimanapun terdapat pemimpin dan aktivis alam sekitar berpandangan lebih banyak yang patut dicapai oleh persidangan tersebut.
Advertisement

Persetujuan yang dicapai pada COP26 tidak mengikat negara-negara dari segi undang-undang namun ia menggariskan agenda global untuk mengawal perubahan iklim untuk jangka masa 10 tahun yang akan datang.

Persetujuan telah dicapai agar negara-negara bertemu sekali lagi tahun hadapan untuk membuat aku janji bagi mengurangkan lagi pelepasan karbon dioksida (CO2) yang merupakan ‘greehouse gas’ (gas rumah hijau) yang menyebabkan perubahan iklim. Aku janji sedia ada hanya akan mengehadkan pemanasan kepada 2.4 darjah Celsius walhal pemanasan global perlu dihadkan kepada 1.5 darjah Celsius untuk mengelakkan bencana iklim.

Tetapi bagaimana pemanasan global dan perubahan iklim akan memberi kesan kepada kita semua justeru itu perlu dikawal? Secara ringkas di antara kesan pemanasan global adalah paras air laut yang meningkat. Ini berlaku kerana air batu di kutub sama ada Artik atau Antartika akan cair. Kawasan-kawasan rendah di tepi pantai akan tenggelam akibat peningkatan paras laut ini.

Di antara negara-negara paling terkesan dengan kenaikan paras laut ini adalah China dengan 50.5 juta penduduknya terancam atau 4 peratus dari keseluruhan penduduk, Vietnam 23.4 juta atau 26 peratus dan Jepun 12.8 juta atau 10 peratus.

Selain dari itu, perubahan iklim tersebut juga mengakibatkan cuaca yang melampau. Banjir besar yang melanda Eropah baru-baru ini juga adalah akibat dari perubahan iklim yang berlaku.

Pada COP26 juga, buat pertama kali terdapat perancangan untuk mengurangkan penggunaan arang batu. Bahan api tersebut bertanggungjawab menghasilkan 40 peratus dari pelepasan tahunan CO2 di dunia. Tetapi komitmen yang diberikan dikatakan lemah kerana hanya melibatkan pengurangan bukan ke arah penghapusan kerana terdapat campurtangan dari negara-negara pengguna arang batu, China dan India.

Kita mungkin tidak sedar tapi negara kita juga bergantung kepada arang batu. Pada tahun 2017, 50.6 peratus daripada bahan api yang dibakar untuk menjana elektrik adalah arang batu. Terdapat 9 stesen janakuasa elektrik yang menggunakan arang batu di Malaysia. Sesuatu perlu dilakukan jika kita mahu mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau di negara kita. Apakah alternatif kepada arang batu? Adakah ia akan menjadikan tarif elektrik lebih tinggi?

Satu lagi keputusan COP26 adalah komitmen untuk menghapuskan secara berperingkat-peringkat subsidi yang menurunkan harga bahan api fosil seperti arang batu, minyak dan gas asli. Walau bagaimanapun tidak ada tarikh yang telah ditetapkan untuk pelaksanaannya. Subsidi ini adalah dalam 2 bentuk iaitu pertama ketika pengeluaran dan kedua kepada pengguna seperti di Malaysia. Sekiranya ia dilaksanakan sudah tentu ia akan memberi kesan kepada rakyat Malaysia.

Pada tahun 2017, kerajaan membelanjakan hampir 11.8 bilion USD untuk subsidi tersebut berbanding dengan 6.53 bilion USD tiga tahun sebelumnya. Sekiranya subsidi ini ditarik, kos tersebut akan ditanggung oleh pengguna. Ia bukan hanya memberi kesan kepada pengguna kenderaan tetapi juga kepada keseluruhan ekonomi. Satu jalan penyelesaian yang komprehensif perlu dicari.

Artikel ini hanya membincangkan 2 keputusan COP26 yang akan memberi kesan jangka panjang kepada rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun kita yakin Kerajaan Malaysia akan mengkaji kesan daripada perkara-perkara yang diputuskan. Negara-negara maju perlu bertanggungjawab untuk menerajui sebarang perubahan dan tidak boleh membiarkan negara-negara membangun atau dunia ketiga menanggung beban ini. Adalah menjadi tugas kita semua untuk menyelamatkan bumi tetapi kepentingan rakyat perlu diberi perhatian.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH)


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo