NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tuduhan PAS tidak peduli kes Adib tidak berasas




15 OKT : Dakwaan segelintir pihak bahawa kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim tidak terbela setelah PAS memegang tampuk kepimpinan kerajaan adalah tidak berasas sama sekali.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, ini kerana pihaknya mengikuti rapat perkembangan kes Allahyarham Muhammad Adib, dan pelbagai tindakan telah dilakukan bagi memelihara kebajikan keluarganya.

Menurut beliau, pertikaian demi pertikaian berbangkit berkaitan kes kematian anggota bomba itu yang perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

“Mereka yang cakap PAS senyap mengenai isu Adib tak mengikuti perkembangan kami secara dekat. Boleh rujuk tindakan yang kami lakukan melalui laman web dan Instagram Pemuda PAS.

“Kita tak boleh masuk campur dalam siasatan yang dilakukan pihak berkuasa. Jadi apabila kerajaan bercadang untuk melakukan tindakan balas seperti yang dilakukan sekarang ini, kita amat menyokong keputusan kerajaan tersebut, kerana ia selari dengan apa yang kita mahu.

“Bezanya, kita menjaga kebajikan keluarga Allahyarham. Pemuda PAS telah membuat beberapa tindakan menjaga kebajikan keluarga Adib, manakala dari sudut keadilan, kita serahkan kepada pihak berwajib,” katanya kepada media, hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Malaysia mempunyai peraturan perundangan yang tidak wajar dicampuri kuasa politik kerana kedua-duanya mempunyai pemisahan kuasa (separation of power) berlainan.

“Apa pasal PAS nak masuk campur dalam hal rule of law (peraturan perundangan), ia di bawah tanggungjawab pihak berkuasa.

“Kita ada separation of power. Bila kita dah jadi kerajaan, kita nak masuk campur, mana boleh, tak adil. Bila masa kita senyap. Cuma kita bukan polis,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes kematian Muhammad Adib, Khairil Nizam menegaskan, pihaknya menyambut baik perkembangan tersebut agar dapat dipastikan supaya siasatan secara menyeluruh dan telus, serta pembelaan sewajarnya terhadap kematian Allahyarham Muhammad Adib bakal terlaksana.

“Penubuhan jawatankuasa itu sejajar hasrat dan cadangan diutarakan pihaknya supaya kekusutan serta pertikaian berbangkit kes Allahyarham Muhammad Adib dirungkai dengan penuh iltizam serta bertanggungjawab,” katanya.

Terdahulu, kabinet telah menubuhkan jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Jawatankuasa itu turut dianggotai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo