NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tindakan PH batal semakan Batu Puteh beri kesan kepada negara




15 OKT: Kerajaan hari ini perlu meneruskan semula semakan kehakiman di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) jika Malaysia mempunyai bukti baharu bagi menyokong tuntutan semula pemilikan Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca.

Pakar perlembagaan, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, permohonan Malaysia untuk membuat semakan semula adalah penting bagi memastikan soal kedaulatan sempadan negara dapat dipertahankan kerana keputusan dibuat oleh ICJ pada 2008 sebenarnya berkaitan dengan dua pulau lain iaitu Pulau Batuan Tengah (Middle Rock) dan Tubir Selatan.

“Seperti kita tahu keputusan ICJ dalam kes membabitkan Pulau Middle Rock berpihak kepada Malaysia. Oleh itu Pulau Batu Puteh juga sepatutnya menjadi milik Malaysia berdasarkan alasan digunakan negara untuk memilik Pulau Middle Rock terbabit.

“Persoalan mengenai Pulau Batu Puteh bukan sekadar pertikaian hak milik sebuah pulau sebaliknya adalah isu besar membabitkan soal penting berkaitan kedaulatan dan sempadan negara khususnya di perairan.

“Sebagai mana kita tahu kedudukan Pulau Batu Putih ini sangat hampir dengan kawasan darat di Johor iaitu hanya kira-kira 7.7 batu nautika dengan Malaysia berbanding Singapura yang lebih jauh iaitu 25.5 batu nautika,” katanya ketika dihubungi wartawan PNBBC di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Fathi berkata apabila ICJ keputusan pada 23 Mei 2008 di mana mereka memutuskan Pulau Batu Puteh diputuskan menjadi hak milik Singapura bermakna akses ke pulau berkenaan juga menjadi hak milik republik terbabit.

Beliau berkata keputusan berkenaan juga menyentuh mengenai persoalan berkaitan laluan kapal dan akses digunakan kerajaan Malaysia antara Pulau Batu Puteh dengan Singapura sendiri.

“Isu ini amat penting untuk diberikan perhatian dan keputusan ICJ berkenaan walaupun boleh dibuat berdasarkan hujah perundangan namun terdapat elemen diberikan perhatian.

“Keputusan berkenaan dibuat berdasarkan satu dokumen dikemukan dan tidak dapat diberikan dengan baik oleh kerajaan Malaysia kerana ia kemukakan secara ‘tiba-tiba’.

“Dokumen berkenaan dikemukakan adalah Surat Setiausaha Negeri Johor pada tahun 1953 yang seolah-olah memberikan hak kepada Singapura untuk menguruskan Pulau Batu Putih biarpun ia tidak menggambar hasrat sebenar Kerajaan Johor.

“Apabila kerajaan Malaysia menemui bukti bahawa sepatutnya kita meneruskan semakan semula di ICJ diteruskan,” katanya.

Justeru itu, Muhammad Fathi berkata tindakan kerajaan Malaysia pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang membatalkan semakan semula kes tuntutan Malaysia ke atas Pulau Batu Puteh, pada 2018 adalah amat merugikan.

Malah, beliau menegaskan tindakan kerajaan pimpinan PH ketika itu amat dikesali kerana ia memberi kesan besar kepada kedaulatan Malaysia terutama di selatan tanah air.

Sebelum ini, media melaporkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berharap, bertitah tindakan perlu diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab, cuai sehingga menyebabkan kerajaan terkhilaf dan tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran undang-undang isu Pulau Batu Puteh, pada 2018.

Sultan Ibrahim bertitah baginda juga mahukan penjelasan disebalik tindakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2018 untuk tidak meneruskan permohonan semakan ke atas penghakiman kes Batu Puteh di ICJ.

Terdahulu, pada 9 Oktober lalu, Kabinet mencapai persetujuan supaya pasukan petugas khas diwujudkan bagi tujuan semakan semula undang-undang berkenaan isu Batu Puteh.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, pasukan petugas khas itu akan membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

Katanya, usaha itu bertujuan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan berkenaan kes Batu Puteh.

Minggu lalu, kerajaan Johor dilaporkan memberi jaminan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu Kerajaan Persekutuan mendapatkan pelbagai dokumen dan pandangan yang diperlukan, bagi semakan semula undang-undang berkenaan isu Batu Puteh atau Pedra Branca. – Oleh HAIKA KHAZI

http://www.pnbbcportal.com/2021/10/15/tindakan-ph-batal-semakan-batu-puteh-beri-kesan-kepada-negara/

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo