NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS sedia satukan BERSATU,UMNO di PRN Melaka


10 OKT: Parti-parti yang mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat masih mahu mempertahankan kerjasama erat bersama UMNO walaupun Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.

Justeru, PAS bersedia menjadi orang tengah untuk mendamaikan kemelut antara BERSATU dan UMNO supaya kedua-dua parti tidak bertanding berasingan pada PRN Melaka, sekiranya diadakan.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang menzahirkan pendirian itu memaklumkan partinya mahukan PRN Melaka menjadi model kepada perpaduan orang Melayu di negara ini.

“Ini sekali gus menyumbang kepada kestabilan politik yang dapat melonjakkan ekonomi negara selain mengikis sifat kebencian rakyat terhadap ahli politik yang cenderung berpecah-belah.

“Tiada satu ayat pun dalam al-Quran dan hadis membenarkan umat Islam bercakaran sesama sendiri kerana ia boleh melemah serta menghancurkan umat Islam.

“Langkah yang diambil oleh PAS ini juga bersesuaian dengan kehendak Islam yang mahukan umatnya bersatu-padu,” katanya ketika ditemui media selepas lawatan kerja ke Tapak Asuhan Ikan SB Aqua Marine and Construction Sdn Bhd di Kampung Tok Kederat, Pulau Kambing di Bachok, Kelantan, hari ini.

Terdahulu, BERSATU juga sentiasa membuka pintu rundingan dengan mana-mana parti politik untuk bekerjasama dalam menghadapi PRN Melaka yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang memaklumkan BERSATU mengamalkan politik mesra, kasih sayang dan tidak bermusuh dengan sesiapa, khususnya rakan parti lain yang memperjuangkan wadah sama.

Pada masa sama, beliau turut berkata, penolakan kerjasama antara UMNO dan BERSATU itu bukan diputuskan oleh majoriti pemimpin parti itu, sebaliknya dicadangkan oleh beberapa pemimpin sahaja di samping mempercayai bahawa masyarakat, terutama orang Melayu sangat berharap dan mendoakan orang politik tidak bergaduh dan bercakaran sesama sendiri.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin turut menzahirkan harapan sama agar partinya dapat menjalinkan kerjasama dengan parti lain khususnya PAS dan BERSATU bagi menghadapi pilihanraya tersebut.

Namun beliau yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan Ahmad Zahid dalam membuat keputusan.

http://www.pnbbcportal.com/2021/10/10/pas-sedia-satukan-bersatuumno-di-prn-melaka


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo