NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

MyTravelPass dimansuh bagi yang lengkap vaksin




10 OKT : Kerajaan bersetuju untuk membenarkan rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke luar negara tanpa melalui #MyTravelPass daripada Jabatan Imigresen namun masih perlu menjalani kuarantin wajib sebaik sahaja pulang ke tanah air.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran yang akan berkuatkuasa mulai esok ini hanya tertakluk kepada individu yang telah lengkap divaksinasi.

Beliau berkata, keputusan pemansuhan ini bagi menghubungkan ahli keluarga dan pasangan yang terpisah di samping rakyat Malaysia yang ingin ke luar negara bagi tujuan bekerja dan mereka yang menjalankan urusan perniagaan.

“Kerajaan telah membuat untuk memansuhkan MyTravelPass bagi rakyat kita ingin ke luar negara. Bermakna sesiapa sahaja warga Malaysia boleh ke luar negara termasuk aktiviti pelancongan. Dulu dibenarkan hanya untuk aktiviti rasmi sahaja dan akan bermula pada 11 Oktober iaitu esok.

“Jadi, rakyat Malaysia hendak ke luar negara tidak perlu mendapatkan kebenaran namun syaratnya mereka telahpun mendapat dua dos vaksin dan jika perkara itu dipenuhi maka mereka boleh ke luar negara namun apabila mereka pulang mereka perlu jalani kuarantin yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Hanya individu lengkap vaksin dibenarkan ke luar negara tanpa perlu melalui MyTravelPass bermula esok.

“Setakat yang kita putuskan sekarang ini mereka perlu lakukan saringan ujian COVID-19 di luar negara tiga hari sebelum pulang dan setibanya di pintu negara di lapangan terbang, mereka perlu lakukan saringan sekali lagi dan akan ditempatkan di pusat kuarantin namun untuk rakyat kita, mereka dah dibenarkan kuarantin di rumah,” katanya menerusi sidang media khas, hari ini.

Pada masa sama, Ismail Sabri memaklumkan bahawa menerusi data terkini daripada KKM, vaksinasi telah berjaya menurunkan kadar kemasukan pesakit COVID-19 ke unit rawatan rapi (ICU) sebanyak 83 peratus di samping kadar kematian akibat jangkitan COVID-19 juga menurun sebanyak 88 peratus.

Justeru itu, Perdana Menteri berkata, bagi memastikan proses peralihan negara ke fasa endemik berjalan lancar dan selamat, orang ramai perlu melakukan ujian pengesanan COVID-19 secara kendiri sekiranya alami simptom-simptom jangkitan dan melaporkan keputusan ujian pengesanan dengan segera di aplikasi MySejahtera.

“Lakukan kuarantin atau pengasingan kendiri dengan segera dan penuh disiplin sekiranya didapati positif supaya tidak bahayakan orang sekeliling. Segera maklum kepada kontak rapat anda sekiranya didapati positif dan laporkan juga semua kontak rapat melalui pautan di dalam MySejahtera.

“Maklumkan juga kepada Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) berhampiran sekiranya situasi kesihatan diri semakin merosot semasa menjalani kuarantin di rumah dan dapatkan rawatan segera di pusat-pusat perubatan atau CAC berhampiran sekiranya alami gejala berat.

Sementara itu, Perdana Menteri turut mengingatkan semua pemilik premis seperti kedai makan, kedai runcit, pusat beli-belah, kemudahan sukan dan pejabat untuk memeriksa status vaksinasi dan serta status risiko COVID-19 pelanggan masing-masing.

Menurut Ismail Sabri, langkah itu penting bagi memastikan risiko jangkitan di dalam premis mereka adalah rendah.

“Di sebalik semua kelonggaran yang diumumkan, hakikatnya kita terpaksa hidup bersama virus COVID-19. Situasi ini bukan sahaja menuntut rakyat untuk terus mematuhi SOP, malah penting untuk meningkatkan penilaian kendiri demi melindungi Keluarga Malaysia.

“Untuk itu, bagi mereka yang masih belum divaksin, segeralah berbuat demikian. Ini kerana banyak kelonggaran yang diumumkan seperti merentas negeri, melancong dalam dan luar negara, dine-in, dan sebagainya bergantung kepada syarat lengkap vaksinasi.

“Vaksin mengurangkan risiko jangkitan, mencegah daripada mendapat jangkitan yang lebih teruk, mengurangkan risiko kematian akibat COVID-19 serta mengurangkan beban sistem kesihatan,,”katanya– Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo