NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Syahmi, Cools diketepi, Shahrul dan Ariff jadi pengaganti



Oleh Abdul Hafiz Ahmad

HARIMAU Malaya terpaksa melupakan khidmat Dion-Johan Cools dalam siri perlawanan persahabatan tahap 1 antarabangsa menentang Jordan dan Uzbekistan akibat kecederaan urat pelipat lutut bek kelab Denmark, FC Midtjylland itu.

Kecederaan lutut Syahmi Safari turut memaksa ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe mengetepikan bek kanan Selangor FC itu yang ada kalanya bermain sebagai perantara atau sayap.

Skuad negara akan menghadapi Jordan dan Uzbekistan pada 6 dan 9 Oktober ini di Stadium Raja Abdullah II dan Stadium Antarabangsa Amman, Amman, Jordan.

Pengguguran mereka disahkan laman Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini.

Benteng Kedah Darul Aman FC, Ariff Farhan Md. Isa dan Shahrul Nizam Ros Hasni daripada Terengganu FC dinamakan sebagai pengganti Syahmi dan Cools.

“Cheng Hoe telah memanggil Ariff, 25, dan Nizam, 23, untuk melapor diri ke kem latihan pusat Harimau Malaya, petang esok bagi melengkapkan senarai 24 pemain.

“Mereka menggantikan Syahmi dan Cools yang disahkan tidak dapat menyertai pasukan negara kali ini kerana kecederaan,” lapor laman berkenaan.

Harimau Malaya kini menghuni ranking ke-154 dunia manakala Jordan, ke-93 dan Uzbekistan, 84.

Kedua-dua perlawanan itu juga sebagai sebahagian persediaan awal menjelang Piala AFF 2020 (2021) di Singapura dari 5 Disember ini hingga 1 Januari 2022.

Malaysia yang juga naib juara 2018, menganggotai Kumpulan B kejohanan dwitahunan Asia Tenggara ke-13 ini dengan juara bertahan, Vietnam selain Indonesia, Kemboja dan Laos.

Ketiadaan Cools meninggalkan cuma dua pemain yang berpangkalan di luar negara, Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk, Belgium) dan Dominic Tan (Police Tero FC, Thailand) yang menyertai pasukan kebangsaan.

Skuad negara mula melapor diri di Kuala Lumpur esok sebelum berlepas ke Amman, Sabtu ini.

Siri perlawanan itu berlangsung dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dari 4 hingga 12 Oktober ini dengan mereka dijadual pulang ke tanah air pada 10 Oktober ini.

Kali terakhir Malaysia beraksi di pentas antarabangsa ialah menewaskan Thailand 1-0 dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Kumpulan G pusingan kedua di Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE), 15 Jun lalu.

Selain Piala AFF, Harimau Malaya turut akan memburu tiket pusingan akhir Piala Asia 2023 di China dalam kelayakan pusingan ketiga pada Januari atau Februari 2022.

Sepanjang tahun ini, skuad negara turut kalah baki empat perlawanan termasuk kepada UAE 4-0 dan Vietnam 2-1 dalam kelayakan itu selain persahabatan dengan Kuwait 4-1 (Dubai) dan Bahrain 2-0 (Riffa).

Senarai 24 pemain negara menentang Jordan dan Uzbekistan:

Penjaga gol: Khairulazhan Khalid (Selangor FC), Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United FC), Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (PJ City FC).

Benteng: Aidil Zafuan Radzak (JDT FC), Sharul Nazeem Zulpakar, Irfan Zakaria (KL City FC), Mohamad Hakimi Abdullah, Arif Fadzilah Abu Bakar, Shahrul Nizam Ros Hasni (Terengganu FC), Ariff Farhan Md. Isa, Rizal Ghazali (KDA FC), Quentin Cheng (Penang FC), Dominic Tan (Police Tero FC, Thailand).

Perantara: Nazmi Faiz Mansor (JDT FC), D. Kenny Pallraj, Akram Mahinan (KL City FC), Baddrol Bakhtiar (KDA FC), Mohamad Al Hafiz Harun (Penang FC), Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC).

Penyerang: Akhyar Rashid, Syafiq Ahmad, Guilherme de Paula (JDT FC), Faisal Abdul Halim (Terengganu FC), Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk, Belgium).

– BebasNews


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo