NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

SPRM terima aduan pegawai kanan ROS isu tangguh pemilihan UMNO


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima aduan ke atas seorang pegawai kanan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) kerana kerana didakwa menyalahgunakan kuasa dan menerima rasuah.

Individu itu didakwa menggunakan kuasanya mengubah keputusan yang dibuat pada 6 Ogos lalu iaitu penangguhan pemilihan parti UMNO sebagai tidak sah kepada sah.

Sumber berkata, pegawai kanan berkenaan didakwa meluluskan penangguhan pemilihan Agung UMNO sehingga Disember 2022 bagi tempoh 18 bulan menerusi sepucuk surat bertarikh 30 Ogos lalu.

Katanya, aduan terbabit diterima daripada beberapa pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat itu.

"Mereka mengesyaki berlakunya perbuatan salah guna kuasa dan rasuah untuk mempengaruhi perubahan keputusan ini oleh segelintir ahli politik yang cenderung kepada pemimpin tertentu," katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan menerima aduan berkenaan, namun enggan mengulas lanjut.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, dalam satu kenyataan pada Isnin lalu, memaklumkan ROS membatalkan keputusannya sebelum ini yang menegaskan keputusan UMNO untuk menangguhkan pemilihan parti itu adalah tidak sah.

Beliau mengesahkan ada menerima surat daripada ROS memaklumkan keputusan itu kepadanya pada hari sama.

Katanya, berdasarkan semakan kepada keterangan dan dokumen tambahan yang beliau dan peguam UMNO berikan pada 9, 11 dan 18 Ogos lalu serta beberapa keterangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 24 Ogos, didapati keputusan penangguhan pemilihan UMNO untuk penggal 2021/2023 dibuat secara teratur.

Oleh itu, beliau berkata, pemilihan jawatan UMNO untuk MKT, bahagian dan cawangan ditangguhkan ke satu tarikh akan dimaklumkan kepada ROS iaitu sebelum 29 Disember ini.

UMNO sebelum ini dilaporkan menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan MKT selama 18 bulan bermula 30 Jun lalu.

Terdahulu, pada 6 Ogos lalu ROS menetapkan keputusan MKT UMNO pada 7 Julai lalu untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah.

Ketetapan itu dibuat berikutan tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu.

- BH

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo