NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sejarah, cerita & berita perihal masalah air di Kelantan, pengundi muda wajib tahu


SEJARAH, CERITA & BERITA PERIHAL MASALAH AIR DI KELANTAN PENGUNDI MUDA WAJIB TAHU

Sejak 1990 PAS mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri Kelantan, pemimpin PAS Kelantan telah menghadapi pelbagai tekanan, sekatan dan rintangan.

Tiga tekanan dan sekatan utama ialah pelaksanaan hukum hudud, bekalan air dan royalti minyak. 

Di bawah sedikit penjelasan dari Setpol KASA, Dr Zuhdi tentang penstrukturan bekalan air di Kelantan. 

Memikul tanggungjawab menyelesaikan masalah air Kelantan

SEMEMANGNYA sudah menjadi pengetahuan umum, Negeri Kelantan menghadapi masalah bekalan air bersih. Masalah tersebut berlaku sejak zaman pemerintah Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat lagi, dan berlarutan sehingga hari ini. Dari segi politik, masalah air ini sering dijadikan isu politik untuk menyerang PAS yang memerintah Kelantan sejak tahun 1990. Oleh sebab itu, mahu tidak mahu penyelesaian masalah air di Negeri Kelantan ini perlu dicari segera.

Negeri Kelantan yang diperintah oleh PAS sejak tiga dasawarsa yang lalu tidak boleh dinafikan menjadi mangsa diskriminasi Kerajaan Persekutuan, khususnya di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad. Diskrimasi tersebut turut melibatkan sektor perkhidmatan bekalan air, iaitu Negeri Kelantan telah dinafikan peruntukan untuk membangunkan sektor ini. 

 Bukan sahaja peruntukan dinafikan, pinjaman yang dimohon juga dilengah-lengahkan sehinggalah Tun Dr Mahathir berundur tahun 2003

Selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi menerajui negara, barulah Kelantan mula mendapat layanan yang lebih saksama, termasuklah sektor perkhidmatan bekalan air. Pinjaman RM600 juta yang dijanjikan kepada Negeri Kelantan mula disalurkan.

 Negeri Kelantan adalah antara pihak yang awal menyahut dasar penstrukturan semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air yang diperkenalkan oleh Tun Abdullah. Setelah rundingan untuk penstrukturan ini bermula 2008, akhirnya telah dimuktamadkan pada tahun 2016 di zaman Dato Sri Mohammad Najib Tun Abdul Razak.

Di zaman Dato Sri Mohammad Najib, Kelantan telah mula diberi peruntukan untuk membangunkan Industri Perkhidmatan Bekalan Air. Antara peruntukan yang diberikan ialah untuk membangunkan Loji Rawatan Air (LRA) dan mengganti semula paip usang. Peruntukan itu disalurkan melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB). Bagaimanapun, kos keseluruhan untuk memulihkan industri perkhidmatan bekalan air Kelantan sudah meningkat melebihi RM2 bilion.

Melalui peruntukan tersebut yang dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), beberapa projek untuk membangunkan Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Kelantan mula dilaksanakan.

 Antaranya ialah pembinaan LRA Kampung Telok yang sudah hampir siap. Demikian juga projek untuk menggantikan sebahagian paip usang daripada lebih 4,000 km yang disasarkan perlu diganti. Dengan peruntukan daripada RMK11 itu, sebahagian masalah air Kelantan sudah mula dapat diatasi.

Sebenarnya, semasa PH memerintah ada usaha untuk melengahkan projek-projek yang sudah dirancang untuk Negeri Kelantan seperti di dalam RMK11. 

Antara projek yang sehingga kini masih belum dimulakan ialah pembinaan Loji Rawatan Kumbahan di Tunjong, Kota Bharu. Sekiranya PH tidak tumbang selepas 22 bulan mereka memerintah, diyakini Negeri Kelantan akan sekali lagi didiskriminasikan sehingga boleh menjejaskan usaha-usaha yang dilakukan untuk melestarikan Industri Perkhidmatan Bekalan Air.

Setelah tumbang Kerajaan PH, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah mengamanahkan jawatan Menteri Alam Sekitar dan Air kepada PAS. Menteri yang menjawat jawatan tersebut adalah Timbalan Presiden PAS sendiri, Dato Sri Tuan Ibrahim Tuan Man. 

Beliau juga mewakili kawasan Parlimen dari Negeri Kelantan, iaitu Kubang Kerian. Manakala Timbalan Menteri yang diamanahkan untuk membantu Dato Sri Tuan Ibrahim ialah Senator Dato Dr Ahmad Masrizal Muhammad, juga berasal dari Negeri Kelantan.

Selain daripada itu, di bawah pemerintahan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, seramai lima orang Menteri dan lima Timbalan Menteri berasal dari Negeri Kelantan. Pelantikan seramai itu Menteri dan Timbalan Menteri dari Negeri Kelantan disifatkan oleh Menteri Besar Kelantan, Dato Ahmad Yakob, sebagai penghormatan kepada Negeri Kelantan.

Dalam konteks sektor perkhidmatan bekalan air pula, sudah tentu rakyat Negeri Kelantan mengharapkan masalah yang sekian lama mereka hadapi akan segera dapat diselesaikan.

Sejak dari hari pertama Dato Sri Tuan Ibrahim masuk ke Pejabat Menteri Alam Sekitar dan Air, beliau sudah meletakkan komitmen yang kuat untuk membantu Negeri Kelantan keluar dari masalah perkhidmatan bekalan air ini. Sasaran kementerian dan juga Kerajaan Kelantan, masalah air ini akan mula dapat diselesaikan menjelang tahun 2025. 

Demikianlah besarnya harapan rakyat Kelantan terhadap Kementerian Alam Sekitar dan Air berkaitan dengan penyelesaian masalah perkhidmatan bekalan air di negeri tersebut.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI 
Setiausaha Politik kepada Menteri Alam Sekitar dan Air – HARAKAHDAILY 21/7/2021



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo