NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Saman fitnah: Peguam Amanah mohon maaf kepada Dr. Kamarul Zaman

Kamarul Zaman Yusoff, penganalisis politik UUM

KUALA LUMPUR – Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Zaman Yusoff berjaya membersihkan namanya yang tercemar berikutan fitnah daripada Naib Ketua Pemuda Amanah Perak, Mohd Fitri Asmuni.

Mohd Fitri yang juga Naib Ketua Amanah dan peguam, membuat permohonan maaf itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Zulqarnain Hassan di sini, semalam.

Dalam penghakiman persetujuan itu, Mohd Fitri, anak kepada peguam Datuk Asmuni Awi bersetuju membuat kenyataan permohonan maaf itu terhadap Kamarul Zaman selaku plaintif.

Pensyarah Kanan UUM itu diwakili peguam, Mohd Harris Mohan Abdullah, telah mengemukakan saman sivil di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu, atas fitnah dua artikel ditulis dan disiarkan Mohd Fitri dalam Facebooknya.

Dua artikel yang dipertikaikan itu bertajuk “Dr. Kamarul Yusoff, Cybertrooper Bertaraf Doktor” dan “Dr. Kamarul Zaman Yusoff Kaki Putar Belit, Astora Jabat Masa Kini” masing-masing bertarikh 23 dan 25 Mei 2017.

Dalam kenyataan permohonan maafnya itu, Mohd Fitri yang diwakili peguam, Noorazmir Zakaria mengakui telah membuat kenyataan yang membawa maksud bahawa:

(i) Penulisan Dr. Kamarul adalah penulisan yang tidak mempunyai nilai ilmiah;

(ii) Dr. Kamarul tidak mengikut etika penulisan ilmiah dalam membahaskan subjek yang diketengahkan;

(iii) Dr. Kamarul hanyalah penulis Facebook yang menyamar sebagai pengkritik, cybertrooper bertaraf doktor;

(iv) Penulisan Dr. Kamarul adalah sampah yang tidak mempunyai nilai akademik sekalipun beliau bergelar doktor;

(v) Dr. Kamarul cuba membohongi dan mengelirukan pembaca dengan penulisan beliau; dan

(vi) Dr. Kamarul adalah penakut yang hanya mampu berselindung di sebalik penulisan beliau seperti di media sosial Facebook.

Mohd Fitri berkata, beliau dengan rendah diri dan suci hati tanpa sebarang paksaan dan tanpa pengakuan terhadap liabiliti memohon maaf kepada Kamarul Zaman di atas penerbitan kedua-dua artikel tersebut yang telah mengguris hatinya.

Beliau juga menarik balik kenyataan tersebut serta berjanji tidak akan menerbitkannya kembali atau menerbitkan apa-apa kenyataan yang seumpama dengannya di masa hadapan.

“Kenyataan ini dibuat atas semangat persahabatan dan saling hormat menghormati antara satu sama lain dan tidak ingin memanjangkan lagi kes ini di mahkamah,” katanya dalam kenyataan permohonan maaf di Facebooknya.

Kamarul Zaman kemudiannya mengesahkan perkara itu dan menyifatkannya sebagai satu kemenangan moral yang akan menjadikan beliau lebih bersemangat dalam menghadapi kes saman fitnah lain yang dikemukakannya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada hakim yang membuat cadangan penyelesaian ini dan kepada Mohd Fitri yang bersetuju untuk membuat kenyataan permohonan maaf serta menarik balik kenyataan tersebut.

“Kes saman terhadap Mohd Fitri ini hanyalah sebahagian kecil daripada kes saman saya terhadap sekumpulan pemimpin DAP dan parti Amanah serta dua portal media iaitu Malaysia Kini dan Malaysia Dateline.

“Tumpuan sebenar adalah kepada kes saman fitnah saya terhadap lapan Ahli Parlimen DAP, iaitu Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Teresa Kok, Chong Chieng Jen, Lim Lip Eng, Wong Kah Woh, Hannah Yeoh dan Steven Sim,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan mereka serta dua Ahli Parlimen dari Amanah yang turut disamannya iaitu Khalid Abdul Samad dan Mohamed Hanipa Maidin lebih besar impaknya kerana mereka merupakan nama besar dalam politik Malaysia.

Sehubungan itu, Kamarul Zaman berkata, kes berkenaan sewajarnya menjadi pengajaran kepada ahli politik, khususnya mereka yang dari golongan pemuda, supaya tidak bersuara mengikut rasa dan lebih berhemah dalam berhujah.

“Golongan pemuda ini biasanya berdarah panas, tetapi masa sama perlu memastikan hujah mereka rasional dan dipandu oleh fakta dan tidak menggelar orang lain sesuka hati, bila sedar buat silap terus akui kesilapan dan mohon maaf,” katanya.

 – MalaysiaGazette


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo