NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

IMF unjur ekonomi Malaysia 2022 berkembang 6.0 peratus



1. IMF unjur ekonomi Malaysia 2022 berkembang 6.0 peratus

UNJURAN rasmi pertumbuhan ekonomi negara bagi 2021 diumumkan kerajaan pada Mac lepas ialah di antara 6.0 peratus hingga 7.5 peratus.

Bagaimanapun, susulan risiko ancaman varian baharu Covid-19 yang lebih berbahaya, kerajaan melaksanakan semula langkah pembendungan penularan wabak yang lebih ketat bagi melindungi nyawa rakyat.

Selain itu bagi memastikan sistem kesihatan tidak lumpuh. Berikutan itu kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada Mei, diikuti oleh Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara berfasa bermula Jun 2021.

Oleh itu, pelaksanaan langkah pembendungan tersebut dijangka menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi pada 2021 setelah mencatat pertumbuhan yang menggalakkan sebanyak 16.1 peratus pada suku kedua 2021.

Justeru itu unjuran kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi keseluruhan tahun 2021 disemak semula kepada antara 3.0 peratus hingga 4.0 peratus seperti yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 13 Ogos lepas.

Anggaran pertumbuhan itu menurut Kenyataan Pra-Bajet (KPB) yang dikeluarkan Kementerian Kewangan semalam, jangkaan kadar pertumbuhan itu berikutan pembukaan semula semua sektor ekonomi dan sosial pada suku keempat.

Perkembangan tersebut dijangka akan mendorong sentimen positif dalam kalangan perniagaan dan pengguna.

Kadar vaksinasi

Pada masa ini, Malaysia antara negara yang mencatat kadar vaksinasi terpantas di dunia, iaitu secara puratanya melebihi 400,000 dos sehari melalui program vaksinasi kebangsaannya.

Pada akhir Ogos 2021, jumlah populasi dewasa yang telah lengkap divaksinasi melebihi 90 peratus bagi Lembah Klang dan lebih 60 peratus bagi seluruh negara.

Vaksinasi yang lengkap dapat mengurangkan beban sistem kesihatan iaitu kadar kemasukan ke hospital, terutamanya ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU), dijangka akan menurun ke tahap yang terkawal.

Faktor-faktor lain yang mendorong pemulihan ekonomi Malaysia ialah peningkatan permintaan luar khususnya daripada rakan dagangan utama, pemulihan harga komoditi, peralihan kepada digitalisasi serta pelaksanaan projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi.

Secara keseluruhan bagi tahun 2021, semua sektor utama ekonomi dijangka mencatat pertumbuhan positif kecuali sektor pembinaan dan pelancongan akibat pelaksanaan langkah kawalan pergerakan bagi membendung penularan Covid-19.

Dengan mengambil kira faktor-faktor yang menyokong pemulihan ekonomi bagi tahun 2021, setelah pembukaan semula sektor ekonomi dan aktiviti sosial, trend pemulihan ekonomi diunjur berterusan sehingga ke tahun 2022.

Pertumbuhan ekonomi

Malah Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan ekonomi Malaysia pada tahun 2022 berkembang sebanyak 6.0 peratus, manakala Bank Dunia pula sebanyak 5.0 peratus, iaitu kembali kepada trend pertumbuhan KDNK tahunan dalam tempoh pra-pandemik.

Dari sudut penawaran, sektor pekhidmatan dan pembuatan dijangka terus memacu pertumbuhan ekonomi berikutan normalisasi aktiviti ekonomi sejajar dengan kejayaan program vaksinasi kebangsaan.

Di samping itu, pelaksanaan projek-projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi akan menyokong sentimen pelaburan.

Peningkatan permintaan luar yang berterusan serta pemulihan harga komoditi dijangka turut memacu aktiviti pengeluaran dalam semua sektor ekonomi.

Aktiviti ekonomi yang dijangka lebih cergas akan memulihkan sentimen pengguna berikutan prospek pendapatan yang semakin baik.

Oleh itu, pasaran buruh dijangka kembali pulih pada 2022 walaupun pada tahap yang lebih sederhana berbanding pra-pandemik, seiring dengan pembukaan semula sektor ekonomi berikutan pencapaian imuniti kelompok.

Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa risiko kepada prospek pertumbuhan ekonomi negara, iaitu antara lain kemunculan varian baharu Covid-19 yang memaksa kerajaan untuk melanjutkan langkah kawalan pergerakan serta menangguhkan pembukaan sektor ekonomi.

Kerajaan turut menyasarkan defisit fiskal sebanyak 5.4 peratus kepada KDNK bagi 2021 semasa Belanjawan 2021 berdasarkan andaian pemulihan ekonomi yang stabil dan momentum pertumbuhan yang memberangsangkan pada separuh kedua 2020 dan berterusan sehingga 2021.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo