NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Zahid dedah sebab utama tarik sokongan kerana rakyat menderita dan sengsara



KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan tuduhan kononnya parti itu menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana tidak dibebaskan daripada pendakwaan mahkamah.

Katanya, UMNO berasa amat kesal kerana tuduhan terbabit sanggup dilemparkan hanya demi menjaga kedudukan.

"Tidak benar langsung tuduhan yang dilemparkan kepada UMNO. Sangat kasar dan tidak senonoh. Menuduh pimpinan UMNO tidak menyokong kerajaan PN kerana tidak dibebaskan daripada pendakwaan.

"UMNO berasa kesal sehingga ke tahap itu tuduhan sanggup dibuat demi memelihara kedudukan," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kepada kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, bahawa pihak yang mencetus kemelut politik ketika ini, tidak senang dengannya kerana enggan melayan permintaan mencampuri urusan mahkamah.

Perdana Menteri berkata, pihak berkenaan tidak selesa dengan ketegasannya yang enggan melayan desakan mereka supaya membebaskan individu tertentu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pihak terbabit sanggup berdusta untuk memesongkan perhatian rakyat daripada isu pokok iaitu kegagalan dan hilang sokongan.

Malah, katanya, insitusi Diraja dipersenda, demokrasi dipermain, undang-undang dimanipulasi dan kini rakyat dibohongi.

"Jika mahu tahu kaedah menyelamat diri daripada pendakwaan boleh lihat 'katak' yang kini selesa di seberang jalan. Boleh juga lihat kepada 'belatuk' yang kekenyangan dedak dalam sangkar serba baharu dan pesona.

"Walhal mereka sebenarnya gagal menjadikan UMNO sebagai perisai mempertahankan jawatan dan kedudukan," katanya.

Justeru, beliau menegaskan pemimpin UMNO wajib mempertahankan parti itu supaya tidak tersasar dari landasan rakyat kerana UMNO adalah milik rakyat.

"Sejak ditubuhkan, UMNO dan rakyat berpisah tiada. UMNO juga mendaulatkan dan mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu sejak merdeka.

"Pewaris UMNO tidak boleh menyimpang daripada falsafah dan semangat ini dengan apa jua alasan. Pimpinan UMNO yang setia perlu tegas mempertahankan pendirian, agenda, maruah dan jati diri untuk parti, rakyat dan negara," katanya.

Beliau berkata suara akar umbi di Perhimpunan Agung UMNO perlu terjemahkan biarpun ia bermakna perlu berdepan dengan pendakwaan serta tekanan hebat.

"Ini bukan terjemahan tanpa fakta. Sudah terbukti sejak 9 Mei 2018. UMNO tidak boleh berpeluk tubuh menyaksikan hari demi hari ratusan rakyat gugur angkara kegagalan yang nyata.

"UMNO tidak boleh berdiam diri melihat rakyat terus hidup dalam penderitaan dan kesengsaraan. Perjuangan diteruskan. UMNO perlu bertindak," katanya.

- BH


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo