Responsive Ad Slot

Tindakan kekal pegang jawatan sehingga sidang Parlimen bulan depan dipuji

Gambar : umnoonline.com
PAS berkata peletakan jawatan mana-mana menteri Umno hanya akan mengganggu proses pemulihan negara.

Memuji tindakan ahli parlimen Umno yang terus kekal memegang jawatan masing-masing dan pada masa mengabaikan arahan pimpinan parti, PAS berkata langkah tersebut membuktikan menteri terbabit memberikan tumpuan untuk menstabilkan politik dan ekonomi negara sambil memerangai Covid-19.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menambah parti itu mengucapkan terima kasih kepada semua ahli parlimen Umno yang kekal memberikan sokongan kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

"Kita sedia maklum sekurang-kurangnya tiga ahli Parlimen Umno iaitu Ismail Sabri Yaakob (Timbalan Perdana Menteri), Khairy Jamaluddin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Dr Adham Baba (Menteri Kesihatan) sedang menggalas tugasan penting dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Sekiranya berlaku peletakan jawatan, maka proses pemulihan negara akan terganggu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Umno kini berdepan dengan penentangan sesetengah ahli parlimen parti itu apabila meneruskan sokongan masing-masing kepada Muhyddin dan Perikatan Nasional (PN) di sebalik arahan agar mereka meletak jawatan.

Setakat ini hanya dua daripada sembilan menteri Umno yang melepaskan jawatan mereka daripada kabinet kerana mengikut arahan parti iaitu Shamsul Anuar Nasarah dan Noraini Ahmad.

Semalam Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob bersama pemimpin kanan BN menyatakan mereka akan terus berkhidmat dalam kabinet Muhyiddin dan sebarang usaha menjatuhkan Muhyiddin mestilah melalui parlimen.

Ismail Sabri yang dilantik menjadi timbalan perdana menteri baru-baru ini juga menganggap usaha mengetepikan Muhyiddin di luar parlimen sebagai menderhaka kepada titah Yang di-Pertuan Agong.

Tidak seperti ahli parlimen Umno yang memberikan sokongan kepada Muhyiddin atas kapasiti peribadi, PAS pula kini adalah parti komponen kepada PN di sebalik piagam yang dimeterai bersama Umno sebelum ini.

Tuan Ibrahim berkata PAS menyeru agar ahli parlimen lain untuk bersama dan bersatu padu menyokong PPN yang diperkenalkan Muhyiddin.

"Keadaan sekarang bukan masa untuk berpecah belah," katanya.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo