Responsive Ad Slot

'Surat Istana' bocor, Pemuda Pas akan buat laporan polis

KUALA LUMPUR - Dewan Pemuda Pas akan melaporkan kepada polis berhubung penyebaran surat didakwa sebagai surat Yang di-Pertuan Agong kepada Perdana Menteri bertarikh 29 Julai lalu.

Menurut Timbalan Dewan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari, pembocoran surat tersebut telah menggugat kestabilan dan keharmonian negara.

"Surat tersebut, jika benar wujud, tentunya merupakan surat rahsia dan terhad yang sepatutnya hanya untuk dibaca oleh penerimanya sahaja iaitu Perdana Menteri.

"Tindakan menyebarkan surat tersebut kepada umum, yang dimuat naik oleh sebahagian pimpinan Pembangkang adalah suatu perkara yang bercanggah dengan Akta Rahsia Rasmi.

"Sedangkan Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan media umum yang disiarkan melalui laman Facebook rasmi Istana Negara untuk bacaan awam dan penyebarannya adalah suatu tindakan tidak beretika," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beberapa hari lalu, tular di media sosial berkaitan dengan surat didakwa dihantar oleh Istana Negara kepada Perdana Menteri berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, tindakan itu juga telah menimbulkan polemik dan kekecohan dalam kalangan masyarakat serta menampakkan seolah berlakunya krisis di antara Istana dan Eksekutif.

Katanya, seharusnya ruang diberikan kepada kedua-dua pihak untuk menyelesaikan isu ini berlandaskan undang-undang dan kerangka Perlembagaan Persekutuan dan bukan dimarakkan lagi pertembungan.

"Dewan Pemuda Pas Malaysia memandang serius perkara ini dan menggesa siasatan polis dibuat bagi mengenal pasti punca kebocoran surat ini untuk melihat sama ada wujudnya unsur khianat dan sabotaj dari penyebaran surat tersebut.

"Dalam tempoh pandemik, seharusnya semua pihak bersatu dan bersama menggembleng tenaga dalam memastikan penularan wabak dapat dikekang, bukan memarakkan api perpecahan dan pertelingkahan.

"Pemuda Pas mengecam sebarang usaha dan cubaan mewujudkan kekecohan dan ketidakstabilan politik dalam tempoh ini, semata demi memuaskan nafsu serakah politik dan Pemuda Pas mengajak agar semua rakyat bersatu dan fokus kepada menyelesaikan isu permasalahan rakyat dalam tempoh ini," ujarnya. 

sumber - Awani

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo