Responsive Ad Slot

KKM cadang sidang khas parlimen ditangguh untuk tempoh 2 minggu

KENYATAAN MEDIA KETUA PENGARAH KESIHATAN 1 OGOS 2021 KEBIMBANGAN BERIKUTAN PENGESANAN  COVID-19 DAN RISIKO PENULARAN JANGKITAN DI PARLIMEN 

Penilaian Risiko  

Walaupun jumlah kes positif COVID-19 yang dikesan semasa Sidang Parlimen ini adalah 0.8 peratus, namun hasil penilaian risiko dengan mengambilkira faktor epidemiologi dan persekitaran, didapati persidangan Parlimen merupakan satu perhimpunan yang berisiko tinggi untuk berlaku penularan jangkitan COVID-19. 

Kriteria penilaian risiko tersebut adalah:  

Faktor epidemiologi:  

1. Terdapat enam (6) kes (1 kes pertama dan 5 kes pengesahan lanjut dengan RT PCR) dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi (CT value yang rendah) dan bergejala yang memberi risiko berlaku penularan jangkitan dan berpotensi menjadi superspreader. 

2. Seperti sedia maklum kebolehjangkitan adalah tinggi dua (2) hari sebelum gejala dan berterusan sehingga hari ke tujuh (7). 

3. Pergerakan kes di sekitar kawasan Parlimen yang berkemungkinan boleh menyebabkan pendedahan kepada individu lain. 

4. Ramai dalam kalangan yang hadir ke Sidang Mesyuarat Khas Parlimen ini dalam kategori warga emas dan kemungkinan mempunyai faktor komorbid yang meningkatkan risiko jangkitan. 

5. Tidak semua individu yang hadir di Parlimen telah mendapat vaksinasi COVID-19 yang lengkap.


 Faktor persekitaran Parlimen  

1. Keadaan dewan Parlimen yang bertutup meningkatkan risiko penularan jangkitan memandangkan virus SARS-CoV-2 tersebar/menular melalui udara dan boleh kekal dalam persekitaran selama beberapa jam (rujukan New England Journal of Medicine, WHO, CDC Atlanta). 

2. Tempoh berada dalam Dewan dan sekitar Parlimen yang panjang memberi risiko pendedahan berulang. 

3. Perkongsian kemudahan asas seperti tandas, surau, kafe dan sebagainya oleh ramai individu termasuk kes. 

4. Penjarakan fizikal dalam Dewan kurang dari satu (1) meter antara satu sama lain walaupun terdapat penghadang meja. 

5. Perkumpulan kecil kerap berlaku di dalam dan di luar dewan. 

Mengambilkira hasil penilaian risiko semasa dan bagi mencegah penularan jangkitan COVID-19 dari berlaku di Parlimen, maka KKM telah mencadangkan agar semua sesi mesyuarat termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas Parlimen serta pembentangan yang dirancang di Parlimen atau yang melibatkan individu yang berada di Parlimen pada 26 Julai sehingga 29 Julai 2021 ditangguhkan sementara waktu untuk tempoh dua (2) minggu bermula dari 29 Julai 2021. 

Penilaian risiko kejadian jangkitan COVID-19 di Parlimen akan dinilai semula dari semasa ke semasa. 

Semua individu yang berada di Parlimen pada 26 Julai sehingga 29 Julai 2021 dinasihatkan untuk memantau status kesihatan secara kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera. 

Sekiranya mengalami gejala, sila jalani pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran dengan tempat tinggal masing-masing.   

Kerjasama semua yang terlibat dipohon agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan demi memastikan penularan jangkitan dapat diputuskan. Kesihatan dan keselamatan semua menjadi tanggungjawab kita bersama.  

Sekian, terima kasih.   


TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH 

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA 

 

1 Ogos 2021 @ 6:30PM

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo