NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

SPR tentukan status PRK Dun Bugaya - Speaker Dun Sabah

Kota Kinabalu: Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah Datuk Kadzim M Yahya menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan status Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan kerusi Dun Bugaya selepas darurat ditamatkan.

Beliau berkata pihaknya sebelum ini sudah membuat pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi Dun berkenaan susulan kematian penyandangnya Allahyarhamah Datin Manis Muka Mohd Darah pada 17 November tahun lalu kerana sakit buah pinggang.

"SPR telah menetapkan tarikh PRK, namun dibatalkan dan ditangguhkan kerana pengisytiharan darurat di kawasan itu sehingga suatu masa dianggap sesuai (untuk diadakan pilihan raya). Ini terserah kepada SPR dan yang menentukan bila (pilihan raya) hanya SPR," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Pada November tahun lalu, SPR menetapkan PRK Dun Bugaya dan Parlimen Gerik di Perak diadakan serentak pada 16 Januari tahun ini, namun terpaksa dibatalkan dan ditangguhkan selari dengan Proklamasi Darurat di kawasan itu bagi mengekang penularan Covid-19.

Pada 16 Disember, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan darurat bagi kedua-dua PRK itu.

Dalam kenyataan itu, perdana menteri berkata Seri Paduka bertitah demikian selepas memperhalusi penjelasan beliau yang menyembah maklum nasihat jemaah menteri berhubung perkara itu.

Pada 12 Januari pula, Seri Paduka memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung pandemik Covid-19 di Malaysia.

Mengulas lanjut, Kadzim berkata, beliau belum pasti sama ada tempoh pengisytiharan darurat bagi kawasan Bugaya itu tamat pada 1 Ogos atau sebaliknya memandangkan ia merupakan pengisytiharan yang berasingan.

"Saya tidak tahu sama ada ia terikat dengan pengisytiharan darurat seluruh negara (atau tidak) kerana jika diikutkan pengisytiharan (darurat Dun Bugaya) adalah sendirian bersama dengan (Parlimen) Gerik.

"Tetapi, kalau terikat (dengan pengisytiharan darurat seluruh negara) bermakna ia tamat pada 1 Ogos. Jika tidak terikat bermakna masih darurat. SPR kena tentukan sama ada (kawasan Dun Bugaya) masih dalam darurat atau tidak," katanya.

Dalam pada itu, Kadzim berkata mengikut perlembagaan, terdapat keperluan mengadakan PRK bagi Dun Bugaya memandangkan kerusi tersebut baru sahaja kosong dan belum sampai tempoh tiga tahun.

"(Sekiranya) tempoh sudah tiga tahun (kerusi Dun Bugaya) baru kosong, mengikut perlembagaan tidak perlu PRK tapi ini (Dun Bugaya) masih setahun. Jadi keperluan untuk mengadaan PRK masih terikat, kita mesti adakan juga tidak boleh elak.

"Bagaimanapun, ia tertakluk kepada nasihat dan pandangan pihak kesihatan (Kementerian Kesihatan) sama ada selamat, sesuai (atau tidak) untuk mengadakan PRK sekarang. Itu terserah dengan keputusan kementerian yang berkuasa dan terserah kepada SPR untuk mengadakan perbincangan," katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 September tahun lalu, Manis Muka yang bertanding atas tiket Parti Warisan Sabah berjaya mempertahankan kerusi Dun Bugaya dengan majoriti 6,005 undi selepas memperoleh 8,557 undi.

Manis muka yang bergiat aktif dalam bidang politik sejak 1985, menewaskan enam pencabar lain termasuk calon Perikatan Nasional Mohd Daud Tampokong yang hanya memperoleh 2,552 undi.

- Bernama

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo