Responsive Ad Slot

Penganalisis berpendapat kerajaan PN boleh kekal jika kedudukan Muhyiddin diganti

Penganalisis politik berpandangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh kekal menerajui Putrajaya termasuk mendapat sokongan Ahli Parlimen Umno pro Presiden Ahmad Zahid Hamidi jika individu lain dipilih menggantikan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan, Iskandar Hasan Tan Abdullah berkata, langkah itu juga dapat menyelesaikan kemelut politik di saat negara sedang bergelut dengan penularan Covid-19 dan krisis ekonomi.

“Apa yang dilihat ialah usaha Umno menarik balik sokongan ke atas Muhyiddin, tetapi penarikan sokongan ke atas PN hanya berlaku jika Muhyiddin masih menjadi perdana menteri.

“Ini bermakna jika strategi PN memahami situasi ini, langkah paling sesuai adalah melantik seseorang Ahli Parlimen selain Muhyiddin dalam kerajaan PN (sebagai Perdana Menteri) yang boleh diyakini mendapat sokongan Umno terutama kumpulan Zahid,” katanya kepada FMT.

Iskandar bagaimanapun mengakui kerajaan pimpinan Muhyiddin masih boleh meneruskan pemerintahan sehingga usul percaya di Parlimen bulan depan, sambil tidak menolak akan ada wakil rakyat tidak menyokong kumpulan Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan Zahid.

Salawati Mat Basir dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut berkongsi pandangan sama.

“Selagi tidak dibuat undian di Dewan Rakyat susah untuk meramal pihak mana yang ada majoriti. Sementara sampai Sept, keadaan politik tidak akan menentu dan bercelaru, akan ada acara lompat melompat, beli membeli,” katanya.

Beliau berkata, walaupun ramai mendakwa Muhyiddin telah hilang sokongan Ahli Parlimen, namun sehingga kini tiada pemimpin parti politik lain boleh membuktikan mereka memiliki majoriti lebih daripada apa yang dimiliki perdana menteri ketika ini.

Bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia, Ahmad Atory Hussain berpandangan mana-mana pihak yang mendakwa Muhyiddin sudah hilang sokongan tidak mengubah kedudukan kerajaan ketika ini sehingga ia dibukti di Parlimen bulan depan sepertimana dipersetujui Yang di-Pertuan Agong.

“Memang sekarang ini ada empat kumpulan parti iaitu PN dikatakan hanya mempunyai 104 Ahli Parlimen, PH 91, kumpulan Mahathir termasuk Warisan, Muda ada 13 dan Ahli Parlimen Umno pro Zahid kira-kira 12 orang, nampak PN hilang majoriti iaitu 104 dari 220 Ahli Parlimen yang ada ketika ini.

“…tapi berbanding dengan perpecahan antara kumpulan Mahathir, Zahid dan PH, PN dianggap mempunyai majoriti, manakala PH mempunyai majoriti kecil,” katanya.

Atory berkata, dalam situasi tidak menentu jumlah sokongan kepada Muhyiddin, kumpulan Mahathir dan Zahid akan menjadi “kingmaker”.

“Kita tak tahu percaturan mereka, masa ada satu bulan lagi, macam-macam boleh berlaku, lobi-melobi sudah tentu,” katanya.

Bagi penganalisis veteran Wan Hashim Wan Teh berpandangan, dalam tempoh sebulan ini sebelum Parlimen bersidang kumpulan Zahid perlu bersabar dan tiada guna mengumumkan senarai Ahli Parlimen Umno menarik sokongan kepada Muhyiddin.

“Semua patut akur dan menghormati tindakan Agong yang telah melantik Muhyiddin untuk terus menerajui kerajaan sedia ada dan bersama berganding bahu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat dan mengenepikan masalah kepimpinan politik buat seketika,” katanya.

- FMT



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo