NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Omar Bashir dihadap ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa

Bekas Presiden Sudan, Omar al-Bashir akan diserahkan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa di Belanda atas dakwaan melakukan pembunuhan etnik. - Foto AFP

BEKAS Presiden Sudan, Omar al-Bashir yang pernah merampas kuasa secara aman ketika menjadi komander briged tentera negara itu pada tahun 1988 dan berkuasa sehingga 2019. Namun hari ini, akhirnya Bashir akan diserahkan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague, Belanda berhubung konflik Darfur.

Bashir yang kini berumur 77 tahun sebelum ini dikehendaki oleh ICC sejak lebih sedekad lalu atas dakwaan melakukan pembunuhan etnik, jenayah perang dan jenayah menentang kemanusiaan di wilayah negaranya.

Keputusan kerajaan Sudan untuk menyerahkannya kepada ICC dibuat oleh Kabinet negara tersebut dan diumumkan oleh Menteri Luar negara itu, Mariam al-Mahdi pada Rabu lalu dan dilaporkan oleh agensi berita negara berkenaan, SUNA tanpa memberikan tempoh bila Bashir akan diserahkan kepada ICC.

Pada April 2019, Bashir dilaporkan terpaksa meletakkan jawatan sebagai Presiden Sudan dan sebuah majlis peralihan kerajaan bakal ditubuhkan untuk mentadbir negara berkenaan.

Beliau meletakkan jawatan selepas protes penduduk di negara itu bagi memintanya turun daripada kuasa diadakan selama kira-kira empat bulan lalu ekoran kenaikan harga makanan dan silap pengurusan ekonomi.

Sejurus selepas Bashir meletakkan jawatan, beliau ditahan di rumah oleh pihak berkuasa Sudan sebelum dihukum penjara dua tahun pada Disember 2019 kerana kesalahan rasuah dan melakukan pengubahan wang haram.

Ketika tiga dekad pemerintahannya, Sudan berada dalam senarai Amerika Syarikat (AS) kerana menaja keganasan dan AS turut melakukan sekatan terhadap negara berkenaan.

Berdasarkan kepada undang-undang Sudan, Bashir dihantar ke sebuah penjara untuk golongan tua kerana melakukan kesalahan jenayah yang tidak membawa kepada hukuman mati.

Namun, pada tahun 2019, majlis kerajaan tentera turut melakukan siasatan terhadap jenayah yang dilakukan di Darfur kerana beliau didakwa menghantar tentera dan militia untuk menghancurkan pemberontakan di wilayah barat negara tersebut.

Konflik itu telah menyebabkan lebih 300,000 nyawa penduduk terkorban, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beberapa buah kumpulan bersenjata dilaporkan mengangkat senjata menentang kerajaan Bashir sekitar tahun 2003 dan mereka turut merungut tentang isu tanah dan dipinggirkan sejak sekian lama.

Pada tahun 2009, ICC pernah mengeluarkan waran tangkap kepada Bashir dan menuduhnya melakukan jenayah perang dan jenayah menentang kemanusiaan semasa konflik bersenjata berlaku di Darfur.

Bagaimanapun, Bashir ketika itu menafikan melakukan jenayah itu selain tidak mengaku kerajaannya membekalkan senjata kepada militia yang dikenali sebagai Janjaweed di Darfur pada tahun 2003.

Militia pro Arab itu dituduh melakukan pembersihan etnik ke atas orang awam daripada komuniti Fur, Masalit dan Zagwa selepas kumpulan-kumpulan pemberontak mengangkat senjata menentang pemerintahannya di Darfur pada tahun 2003.

Dalam konflik itu juga, kira-kira 2.5 juta penduduk telah meninggalkan kediaman mereka manakala Bashir tidak mampu untuk melawat beberapa buah negara kerana bimbang akan ditangkap sejak waran penangkapannya dikeluarkan oleh ICC.

Selepas waran tangkapan pertama dikeluarkan pada tahun 2009, waran tangkap kedua turut dikeluarkan oleh ICC pada tahun 2010.

Ketika itu, seorang anggota kanan Parti Kongres Kebangsaan yang memerintah Sudan, Rabie Abdelatie dilaporkan berkata bahawa waran tangkap tersebut adalah satu langkah yang tidak munasabah dan menyatakan bahawa ICC bukan sahaja menyasarkan Bashir tetapi juga penduduk Sudan.

Pada tahun lalu, satu perjanjian keamanan ditandatangani antara kumpulan-kumpulan pemberontak dengan pihak berkuasa Sudan bagi menamatkan pertempuran di wilayah Darfur.

Bagaimanapun, keputusan Kabinet itu masih memerlukan kelulusan daripada majlis pemerintah Sudan yang anggota-anggotnya terdiri daripada tentera dan tokoh-tokoh orang awam.

Sungguhpun begitu, Timbalan Pengerusi majlis itu, Mohamed Hamdan Daglo dilaporkan oleh agensi berita SUNA sebagai berkata bahawa Sudan bersedia untuk bekerjasama dengan ICC.

Namun, masih tidak jelas sama ada Bashir akan diekstradisi untuk menghadapi perbicaraan di The Hague. - Agensi


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo