NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PUM seru pemimpin politik berhenti berebut kuasa




12 OGOS : Rakyat sudah bosan dengan gelagat para pemimpin politik yang saban hari melakukan pelbagai tindakan bagi mendapatkan kuasa dengan pelbagai cara termasuklah menarik sokongan kepada Perdana Menteri dan seumpamanya.

Justeru, Yang di-Pertua Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM), Datuk Al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir menyeru agar pergeseran merebut kuasa dihentikan dan parti-parti politik yang mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan juga pembangkang perlu kembali ke meja rundingan

Menurut beliau, pendekatan ini perlu dilakukan bagi sama-sama membantu membangun negara dan bukannya terus bersengketa merebut kuasa kerana perbalahan itu boleh meruntuhkan negara.

“Perlu diingatkan agar setiap tindakan yang dilakukan mestilah selaras dengan undang-undang yang ada. Seluruh rakyat Malaysia tahu bahawa Perdana Menteri telah secara terbuka menyatakan akan melakukan undi percaya di parlimen pada bulan September nanti.

“Jadi kenapa perlu untuk mendesak sedangkan komitmen telah dinyatakan dengan jelas?

“Hormatilah ruang yang diberikan di mana Perdana Menteri yang begitu terbuka menyatakan untuk mendapatkan keabsahan sokongan terhadapnya ditentukan di parlimen,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Abdul Halim berkata, seharusnya pemimpin parti-parti politik memikirkan tentang kemaslahatan rakyat yang ketika ini perlu diberikan perhatian terutama apabila berlakunya kes-kes kematian yang disebabkan COVID-19 yang tidak mengenal usia termasuk terhadap golongan muda.

“Tambahan pula, beberapa pakej bagi memulihkan keadaan ekonomi telah diperkenalkan yang memerlukan komitmen semua untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN). Ini penting untuk menjamin kesejahteraan negara dan juga rakyat secara keseluruhannya.

“Adalah lebih afdal dalam masa ini untuk para pemimpin parti-parti politik menggalakkan seluruh rakyat Malaysia untuk mengambil vaksin sebagai salah satu daripada langkah untuk keluar daripada wabak yang sedang dihadapi di dunia ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Abdul Halim turut menyeru seluruh rakyat Malaysia terutama para pemimpin parti-parti politik untuk menghormati titah nasihat yang disampaikan oleh Raja-Raja Melayu ini demi kestabilan pentadbiran negara.

Sultan Ibrahim turut meluahkan rasa kecewa baginda dengan sikap pemimpin politik yang masih berebut kuasa di kala negara berdepan musibah pandemik.

Beliau merujuk perkara itu kepada beberapa laporan media mengenai titah nasihat beberapa Sultan Negeri-Negeri yang memberikan pandangan terhadap keadaan semasa politik di tanahair.

“Antaranya adalah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menzahirkan rasa kecewa baginda terhadap pemimpin partik politik yang sentiasa memberikan tekanan untuk merebut kuasa dengan cara yang sedikit sebanyak mengganggu pentadbiran kerajaan.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut menzahirkan perkara yang hampir sama di mana sekarang ini bukanlah masa yang sesuai untuk berebut kuasa dan bersengketa sesama sendiri ketika negara sedang bergelut dengan pandemik COVID-19, “katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH
............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo