NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ogos datang lagi : Berjayakah Anwar kali ini?



Dato Seri Anwar Ibrahim seorang politikus yang hebat dan luar biasa. Terkenal di Dunia Islam, malah terkenal di seantero dunia.

Catatan kali ini tidak akan merayau jauh menulis tentang ketokohan DS Anwar di mata dunia.Tetapi saya mohon izin membawa perhatian anda kepada kekuatan DS Anwar menjatuhkan tokoh-tokoh politik ternama di tanah air kita.

Semua kita maklum bahawa dalam babak-babak perletakan jawatan dua orang Perdana Menteri, Tun Mahathir dan TS Muhyidin, DS Anwar Ibrahim adalah penggerak utamanya.

Kuat tak kuatnya gerakan DS Anwar Ibrahim, Tun M terpaksa melepaskan jawatan PM-nya pada Februari 2020. Kuat tak kuat DS Anwar Ibrahim jugalah akhirnya TS Muhyidin terpaksa meninggalkan kerusi PM-nya kelmarin, 16 Ogos 2021.

Malah...

Malah, seorang Menteri Besar yang namanya cukup tersohor suatu ketika dahulu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, juga terpaksa meletakkan jawatan kerana gerakan DS Anwar Ibrahim.

Ia berlaku pada bulan Ogos.

Perletakan jawatan TS Khalid pada 26 Ogos 2014, mengakhiri kemelut sepak terajang gerakan politik DS Anwar Ibrahim terhadap beliau.

Alasan yang memaksa TS Khalid meletak jawatan bermula dengan ketidakpuasan hati PKR terhadap TS Khalid, sedang waktu itu TS Khalid adalah Bendahari Agung PKR. Juak-juak DS Anwar digerakkan untuk memastikan TS Khalid jatuh mengkurep (tersembam).

TS Khalid dituduh dengan penyalahgunan wang oleh Saifudin Nasution, didakwa di mahkamah, dibicarakan, dihebohkan dan diperbudak—budakkan, seolah-olah TS Khalid macam budak hingusan dalam hal ehwal kewangan.

Dalam episod itu TS Khalid tidak dapat ditumbangkan.

Lalu dicipta episod baru, Langkah Kajang. Tujuannya adalah untuk menjatuhkan TS Khalid juga sebagai MB Selangor, dan menobatkan DS Anwar Ibrahim sebagai MB baharu.

Episod itu juga tidak berjaya menumbangkan TS Khalid. DS Anwar Ibrahim bukan setakat tidak boleh menjadi MB, malah bertanding di Kajangpun beliau tidak layak.

Akhirnya TS Khalid dipecat daripada PKR, sedang namanya sedang menjulang naik, dengan penuh bergaya dan penuh integriti.

Episod itu berjaya.

Dek kerana TS Khalid bukan ahli PKR kerana dipecat, beliau seorang wakil rakyat bebas, tidak berparti, maka bermakna beliau tiada sokongan majoriti. Justeru, beliau hendaklah meletakkan jawatan.
TS Khalidpun meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.

Namun, sekalipun TS Khalid sudah meletakkan jawatan, DS Anwar Ibrahim tidak dapat menjadi MB. Malah, orang-orang DS Anwar Ibrahimpun tidak berjaya menjadi MB.

Yang Berjaya dinobat menjadi MB adalah DS Azmin Ali. DS Azmin diketahui sebagai ahli PKR yang tidak sealiran dengan DS Anwar Ibrahim.

Itulah episod-episod penting dalam politik menjatuhkan seorang MB di Selangor. DS Anwar Ibrahim memang kuat.

Kini, setelah jatuhnya TS Khalid daripada kerusi MB, jatuhnya Tun Mahathir daripada kerusi PM, jatuhnya TS Muhyidin, juga daripada kerusi PM, apakah nasib DS Anwar Ibrahim?

Bolehkah DS Anwar Ibrahim merebut kerusi PM esok? Wallahu a'lam. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

Esok masih bulan Ogos.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo