NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Khaled letak jawatan Pengerusi Boustead Holdings

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif Boustead Holdings Berhad, berkuat kuasa esok.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan ketetapan UMNO untuk menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Saya dengan ini mengumumkan peletakan jawatan saya selaku Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif Boustead Holdings Berhad berkuat kuasa Khamis, 5 Ogos 2021.

"Ini sebagai mengambil tanggungjawab saya selaku ahli parti yang akan terus akur dan hormat dengan sebarang keputusan serta ketetapan parti," katanya dalam kenyataan yang disiarkan di Facebook.

Mohamed Khaled berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada ahli lembaga pengarah dan pengurusan Boustead Holdings Berhad yang memberi komitmen serta kerjasama yang baik sepanjang perkhidmatannya sebagai Pengerusi syarikat.

Justeru, beliau yakin syarikat itu kini berada pada landasan yang tepat untuk terus berperanan dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, khususnya dalam memastikan pulangan berterusan kepada pemegang saham utama iaitu Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Mohamed Khaled menjadi pemimpin UMNO kedua yang meletakkan jawatan selepas Ahli Parlimen Lenggong yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang melepaskan jawatannya sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

Ia susulan MKT UMNO semalam sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Muhyiddin.

- BH


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo