Responsive Ad Slot

Keabsahan kerajaan Johor ditentukan Khamis ini

Dewan Undangan Negeri Johor akan bersidang semula Khamis ini, di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar. - Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Khamis ini, akan menentukan keabsahan kerajaan sekarang.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata pihaknya mengambil maklum perkembangan politik semasa dan perkara itu akan dibangkitkan serta dibincang pada sidang DUN.

Beliau berkata, kerajaan negeri menjunjung demokrasi dan berpegang kepada prinsip undang-undang tubuh Johor menjadi asas kepada sebarang keputusan dan tindak-tanduk.

"Perkembangan semasa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menentukan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri di Parlimen seperti yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Di Johor, kalau Ahli Parlimen yang sudah diberi mandat buat keputusan, saya tidak mahu sentuh pendirian Ahli Parlimen. Namun, sebagai ketua kerajaan negeri, saya rasakan perkara yang dibangkitkan ini boleh dibincangkan di Dewan Negeri, bila kita bersidang untuk menentukan keabsahan kerajaan negeri dengan keputusan yang dibuat.

"Persidangan DUN akan tiba tidak lama lagi. Di situ platform yang sesuai untuk kita ambil atau buat keputusan berkaitan isu berbangkit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat di Pusat Pemberian Vaksin Hospital Swasta di KPJ Abdul Samad, di sini, hari ini.

Hasni berkata, buat masa ini tiada keperluan UMNO Johor atau Barisan Nasional membuat keputusan tentang kedudukan sama ada menyokong Muhyiddin atau sebaliknya.

Katanya, beliau tidak menerima tekanan dari parti untuk membuat keputusan berhubung isu terbabit.

"Perkara itu semua, kita akan bangkitkan dalam sidang DUN dan saya sendiri akan buat pendirian terhadap perkara yang berbangkit.

"Demi kestabilan kerajaan, Tan Sri Muhyiddin sendiri akan hadir dalam persidangan DUN Johor sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir. Kerjasama wakil rakyat atau ADUN adalah rakan starategik dalam membangunkan negeri Johor," katanya.

Kerajaan Johor didukung UMNO memiliki majoriti tipis dengan 29 kerusi. - Foto NSTP/NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Semalam, Setiausaha BERSATU Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal mendesak UMNO negeri itu menyatakan pendirian terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, BERSATU masih menunggu kenyataan dari UMNO Johor berhubung perkara itu.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Perdana Menteri.

Daripada 56 kerusi DUN Johor, UMNO dan DAP masing-masing memiliki 14 kerusi, BERSATU (12), MIC (dua), PAS (satu) sementara AMANAH (sembilan) dan PKR pula (empat).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 29 kerusi, berbanding 27 kerusi di blok pembangkang.

- BH


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo