NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kabinet Ismail Sabri tiada kejutan?

Teka-teki kabinet Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob berakhir apabila beliau mengumumkan pembentukan Kabinet pada Jumaat 27 Ogos 2021. Ini menyaksikan pelantikan seramai 31 menteri termasuk empat menteri kanan dan 38 timbalan menteri.

Sebagai langkah selamat, beliau mengambil pendekatan yang sama dengan PM ke-8, Tan Sri Muhyidin Yassin, iaitu tidak mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Dari segi komposisi parti, UMNO yang mempunyai seramai 37 orang Ahli Parlimen (tidak termasuk Ku Li yang mengisytiharkan sebagai Bebas), telah mengisi 10 jawatan Menteri (11 termasuk Perdana Menteri). Manakala Bersatu yang mempunyai 35 Ahli Parlimen mendapat 10 orang Menteri. GPS pula yang mempunyai 18 Ahli Parlimen mendapat 4 orang Menteri. PAS yang juga mempunyai 18 Ahli Parlimen diberikan 3


Menteri.
Parti-parti lain yang turut membentuk kerajaan ini ialah MCA (2 Ahli Parlimen), MIC (1 Ahli Parlimen) dan PBS (1 Ahli Parlimen) masing-masing mendapat 1 Menteri. Manakala STAR (1 Ahli Parlimen) dan PBRS (1 Ahli Parlimen) tiada jawatan Menteri diberikan,hanya jawatan Timbalan Menteri sahaja.

Menteri Bertukar Portfolio
Terdapat 11 kementerian yang telah bertukar Menteri, iaitu Kementerian Luar Negara, Pertahanan, Kesihatan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Komunikasi dan Multimedia, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tenaga dan Sumber Asli, Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Belia dan Sukan serta Kementerian Wilayah Persekutuan.

Selain itu, melibatkan 3 Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Parlimen dan Undang-undang, Hal Ehwal Agama dan Tugas-Tugas Khas

Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang sebelum ini memegang Menteri Kanan Luar Negeri bertukar portfolio sebagai Menteri Kanan Pertahanan yang pernah dipegangnya satu masa dahulu. Sebelum ini jawatan tersebut dipegang oleh Datuk Ser Ismail Sabri sebelum dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) yang baharu adalah Datuk Seri Dr Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, seorang pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebelum ini.

Datuk Dr Hj Abdul Latiff bin Ahmad pula dipindahkan kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) menggantikan Datuk Redzuan Mohd Yusof yang tidak dilantik semula.

Sementara dua orang tonggak utama yang meguruskan hal ehwal berkaitan pandemik covid-19, iaitu Datuk Seri Dr Adham Baba dan Khairy Jamaluddin bin Abu Bakar telah bertukar portfolio. Dr Adham dilantik sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ,manakala Khairy pula sebagai Menteri Kesihatan.

Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar bin Haji Musa telah bertukar portfolio kepada Menteri Komunikasi Dan Multimedia. Jawatan beliau sebelum ini adalah sebagai Menteri Wilayah. Dato’ Saifuddin bin Abdullah pula dipindahkan kembali ke Kementerian Luar Negeri, dimana beliau pernah berada di portfolio itu sebelumnya.

Begitu juga Datuk Seri Reezal Merican bin Naina Merican dipindahkan menjadi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengambil alih daripada Datuk Hajah Zuraida binti Kamaruddin. Sementara Datuk Zuraida pula bertukar ke Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, menggantikan Datuk Khairuddin Aman Razali yang tidak dilantik semula.

Lantikan Menteri baharu
Terdapat 5 Menteri baharu yang dilantik menggantikan 4 menteri yang tidak dilantik semula kali ini.

Pada saya tiada kejutan atau pembaharuan yang ketara dalam pembentukan kabinet yang diumumkan pada kali ini. Ianya hanya mengekalkan struktur sebelum ini dengan sedikit perubahan ‘kosmetik’ dengan membawa masuk 3 orang pemimpin veteran umno yang pernah menjadi Menteri semasa kerajaan BN terdahulu bagi membantu beliau dalam pentadbiran kerajaan.

Hanya 2 orang Menteri sahaja yang betul-betul baharu dilantik mengganggotai Kabinet ini,iaitu dari Bersatu dan PAS. Mewakili Bersatu adalah Datuk Seri Ahmad Faizal bin Azumu, iaitu Timbalan Presiden Bersatu yang sebelumnya dilantik sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri ke-8 (bertaraf Menteri) sebagai Menteri Belia dan Sukan.

PAS pula menampilkan seorang Naib Presidennya, Senator Ustaz Idris bin Ahmad sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal Ehwal Agama) menggantikan seorang teknokrat, Senator Datuk Dr Zulkiffli Al-Bakri yang tidak dilantik semula .

Tiga orang bekas Menteri UMNO sebelum ini yang kembali semula mengganggotai kabinet Datuk Seri Ismail Sabri adalah; Datuk Seri Mahadzir Bin Khalid, Naib Presiden UMNO sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar, Tan Sri Noh bin Haji Omar, Ahli Majlis Tertinggi yang juga Pengerusi UMNO Selangor sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Manakala Datuk Seri Shahidan bin Kassim yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan sebelum ini dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

Menteri kekal portfolio
Menteri Kanan yang dilantik semula adalah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang memegang portfolio Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Menteri Kerja Raya dan Datuk Dr Radzi Jidin sebagai Menteri Pendidikan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, seorang teknokrat juga dikekalkan. Selainnya adalah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) juga kekal kepada Datuk Seri Mustapa bin Mohamed

Begitu juga dengan Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong kekal sebagai Menteri Pengangkutan, Presiden PBS Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak)

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Saravanan a/l Murugan, kekal sebagai Menteri Sumber Manusia. Manakala Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim bin Tuan Man kekal sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air.

Ketua Wanita Bersatu, Datuk Seri Rina Binti Harun kekal sebagai Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Sementara, Ketua Wanita UMNO Datuk Dr Noraini Ahmad yang meletakkan jawatan semasa krisis baru-baru ini dilantik semula sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

Setaiusaha Agong Bersatu, Datuk Seri Hamzah Bin Zainuddin dikekalkan sebagai Menteri Dalam Negeri. Turut dikekalkan ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,iaitu Datuk Alexander Nanta Linggi (Sarawak).Lain-lain yang dikekalkan adalah Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Nancy Shukri (Sarawak), Menteri Pertanian, Industri Makanan , Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Sabah) dan Datuk Halimah Mohd Sadique sebagai Menteri Perpaduan Nasional

Sedikit analisa tentang negeri , seorang Menteri dari Perak ,iaitu DS Dr Shamsul Anuar bin Nasarah-UMNO yang berundur digantikan dengan seorang muka baru dari Perak juga, iaitu DS Faisal bin Azumu-Bersatu.

Manakala bagi Negeri Terengganu dan Melaka pula telah kehilangan jawatan Menteri bila Ahli Parlimen berkenaan dari PAS (Datuk Khairuddin Aman Razali) dan Bersatu (DS Redzuan bin Mohd Yusuf) tidak dilantik semula sebagai Menteri. Manakala Perlis, Kedah dan Selangor mendapat pertambahan Menteri apabila Ahli Parlimen UMNO dari negeri berkenaan dilantik sebagai Menteri baru.

Konklusinya pandangan peribadi saya, perlantikan Menteri-Menteri Kabinet kali ini dibuat dengan begitu berhati-hati oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri. Bak kata pepatah seperti menarik rambut dalam tepung. Tepung tidak berselerak dan rambut tidak putus. ini kerana beliau berdepan dengan pelbagai tuntutan dan desakan, termasuklah kesukaran untuk melantik seorang Timbalan Perdana Menteri sehinggalah beliau mengambil jalan selamat dengan mengosongkan jawatan tersebut.


Adalah diharapkan suhu politik negara yang sentiasa panas sebelum ini akan bertukar sejuk dengan pendekatan politik baharu. Diharapkan pihak pembangkang sama-sama memainkan peranan untuk meredakannya. Moga kabinet yang dibentuk semula dibawah Perdana Menteri yang baharu ini akan ini mampu bertahan sehingga PRU ke-15.



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo