NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Orang UMNO perlu berpijak di bumi nyata - Nazri Aziz


KUALA LUMPUR : Semua pemimpin dan ahli UMNO yang tidak berpuas hati dengan pembentukan Kabinet baharu diingatkan supaya berpijak di bumi nyata dengan mengambil kira keadaan politik semasa.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata, walaupun jawatan Perdana Menteri sudah menjadi milik UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengambil kira komposisi parti yang membentuk kerajaan.

"Dulu zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, Pak Lah (Tun Abdullah Badawi) dan Najib (Datuk Seri Najib Razak), UMNO boleh sebut sahaja siapa yang dia nak dan kita akan dapat tetapi sekarang berbeza.

"Saya nak ingatkan orang UMNO, jangan fikir kita dah kuat balik. Barisan Nasional (BN) cuma ada 42 kerusi dan untuk tubuh kerajaan kita kena berkawan dan ambil hati mereka. Kalau kawan kita BERSATU, PAS, GPS, tak setuju dengan keputusan kita, kita tak boleh tubuh kerajaan," katanya kepada BH.

Semalam, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata sudah tentu UMNO kecewa dengan barisan Kabinet baharu dan berdoa supaya gaji mereka dibayar sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah yang dibayar ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pula menganggap barisan anggota Kabinet itu sebagai kurang memberangsangkan.


Beliau berharap ia dibentuk secara dwipartisan untuk mentadbir ketika krisis atau sekurang-kurangnya memperkenalkan beberapa muka baharu yang muda untuk menyuntik lebih banyak tenaga dan semangat.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata, Kabinet yang dibentuk semalam oleh Ismail Sabri adalah yang terbaik dengan mengambil kira landskap politik semasa.

"Yang penting, UMNO sudah dapat jawatan Perdana Menteri, kita nak apa lagi? Kita sama-sama UMNO nak bantai buat apa?

"Kita sokonglah Perdana Menteri dan kalau ada apa-apa yang rasa tak puas hati, biarlah orang lain komen, tak payahlah kita (daripada UMNO yang komen)," tegasnya.

Beliau juga menyatakan tidak terkejut dengan komposisi Kabinet baharu yang menampakkan kesinambungan kepada kerajaan terdahulu.

Katanya, status quo perlu dikekalkan bagi memastikan Kabinet itu terus menerajui kerajaan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

"Cuma ada pertukaran dari segi portfolio dan pertukaran individu yang ditentukan oleh parti masing-masing. Perdana Menteri perlu memastikan ada kestabilan politik kerana Kabinet ini adalah kabinet untuk melawan COVID-19 dan memulihkan ekonomi," katanya.

Mohamed Nazri, berkata dalam keadaan UMNO tidak boleh menang semuanya, parti itu sebenarnya mendapat suntikan kekuatan baharu apabila terdapat tiga bekas Menteri yang berpengalaman dibawa masuk dalam Kabinet baharu.

Katanya, UMNO juga mendapat portfolio strategik iaitu Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

"Kemasukan semula tiga Menteri yang berpengalaman luas pastinya memberikan lebih penghormatan kepada UMNO dalam Kabinet," katanya.

Tiga menteri berkenaan ialah Datuk Sri Mahdzir Khalid, yang mengetuai Kementerian Pembangunan Luar Bandar; Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (Kementerian Wilayah Persekutuan) dan Tan Sri Noh Omar (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi).

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/857000/orang-umno-perlu-berpijak-di-bumi-nyata-nazri-aziz


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo