Responsive Ad Slot

Ismail Sabri digesa lantik segera menteri portfolio kritikal

Ismail Sabri boleh menangguhkan pembentukan kabinet penuh kerajaan sehingga selepas selesai pelaksanaan undi percaya di Parlimen bagi meredakan tekanan politik ketika ini. Gambar kecil dari kiri: Azmi, Kartini.

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu segera melantik menteri yang bertanggungjawab menjaga portfolio kritikal bagi membolehkan kerajaan memberi perhatian terhadap pengurusan Covid-19 negara.

Penganalisis Politik dan Geostrategis, Dr Azmi Hassan berkata, perkara tersebut mesti diutamakan meskipun Ahli Parlimen Bera itu dalam situasi tidak selesa disebabkan permintaan dan syarat daripada parti yang menyokong pelantikannya sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Menurutnya, Ismail Sabri boleh mengambil langkah menangguhkan pembentukan kabinet penuh kerajaan sehingga selesai pelaksanaan undi percaya di Parlimen bagi meredakan tekanan politik yang dihadapinya ketika ini.

“Portfolio penting yang kritikal khususnya berkaitan dengan pandemik seperti kesihatan dan perdagangan serta industri seharusnya sudah dilantik dalam tempoh 24 jam.

“Perkara lain (pembentukan kabinet) boleh tangguh supaya boleh meredakan suhu tekanan politik,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Pada 18 Ogos lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya Perdana Menteri yang dilantik perlu segera mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Bagaimanapun timbul kebimbangan berlaku situasi luar jangka walaupun Ismail Sabri sudah mendapat sokongan majoriti 114 ahli Parlimen melalui akuan bersumpah (SD) yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada Rabu lalu.

Saiz anggota kabinet di bawah tiga perdana menteri sebelum Ismail Sabri.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, semua parti politik seharusnya menghormati titah Yang di-Pertuan Agong yang meminta supaya kerajaan bakal dibentuk itu bekerjasama dengan semua pihak untuk menangani Covid-19.

Beliau turut berpendapat bahawa untuk memastikan kestabilan kerajaan baharu itu, semua parti politik yang memberikan sokongan kepada Ismail Sabri harus membuat satu kenyataan bagi menunjukkan mereka akan memberikan ruang kepada Perdana Menteri memilih dan menentukan kabinet yang bakal dibentuk.

“Parti politik sama sama ada UMNO, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gabungan Parti Sarawak (GPS) seharusnya membuat kenyataan bahawa mereka akan memberi ruang kepada Ismail Sabri untuk membentuk kabinet.

“Ini kerana beliau Perdana Menteri dan seharusnya kabinet yang dibentuk itu adalah kabinet yang beliau rasa berwibawa, bukan kerana kedudukan mereka dalam parti ataupun jumlah sokongan yang diberikan.

“Seharusnya perkara itu tidak berlaku lagi dan itulah kesilapan kerajaan yang lepas yang mana menteri dilantik berdasarkan kedudukan mereka dalam parti,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita) UKM, Profesor Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid berpandangan bahawa penangguhan pembentukan kabinet tidak perlu dilakukan dengan mengambil kira keperluan untuk pengurusan Covid-19.

Tambahnya, Ismail Sabri juga dijangka tidak menghadapi sebarang cabaran untuk menghadapi usul tidak percaya kerana 114 ahli Parlimen yang menyokongnya itu telah memberikan akuan bersumpah.

“Bagi saya tiada masalah besar (melakukan undi percaya). Tetapi kena pastikan juga kabinet baharu adalah kabinet yang efisien, efektif dan tiada kluster mahkamah,” ujarnya.

Sumber : Sinarharian

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo