SHAH ALAM - Kegagalan Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih sebagai Perdana Menteri dalam krisis politik negara baru-baru ini telah mewujudkan gesaan supaya Pakatan Harapan (PH) mempertimbangkan wajah lain dan bukan lagi bergantung kepada muka lama.
Antara yang menyuarakan perkara tersebut ialah Ahli Parlimen Kluang dari DAP, Wong Shu Qi yang menyifatkan parti pesaing mereka iaitu UMNO kini sudah bergerak ke titik hadapan apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bukan daripada generasi pemimpin peristiwa 1990-an berjaya diangkat sebagai Perdana Menteri baharu.
Jelas beliau, negara tidak perlu berharap kepada individu yang dilihat sebagai ‘superhero’ kerana pemimpin datang dan pergi, sebaliknya agenda serta idea yang dibawa akan lebih bermanfaat.
Justeru tegasnya, PH perlu kembali duduk berbincang mengenai idea pembentukan negara bukannya membincangkan siapa yang perlu diangkat sebagai Perdana Menteri.
“Politik ini bukan perkara yang boleh dilakukan oleh seorang sahaja sebaliknya seorang pemimpin perlu ada sebuah pasukan yang kuat dan kompeten untuk menjalankan tugas mereka. Bagi saya apa yang paling penting adalah kita tidak boleh lagi terikat kepada seseorang (pemimpin) sahaja.
“Kita perlu bergerak ke hadapan dengan adanya strategi baharu melibatkan generasi muda. Paling penting pembangkang atau PH wujud bukan kerana kita mahu seseorang jadi pemimpin selama-lamanya atau jadi Perdana Menteri,” katanya.
Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto juga berpandangan wanita dan anak muda perlu menjadi barisan hadapan politik hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan pula berpendapat telah tiba masanya golongan atau tokoh muda diberikan ruang dan peluang walaupun pembangkang masih lagi memerlukan gabungan pemimpin muda, pertengahan dan mereka yang berusia.
“Kalau kita tidak beri ruang kepada mereka, sampai bila mereka boleh memperlihatkan daya kemampuan dan pencak mereka dalam arena politik negara.
“Jika kita lihat di negara luar sebagai contoh, mereka yang umur 30-an, 40-an sudah menjadi Perdana Menteri manakala menteri itu sudah biasa,” kata beliau.
Bagi Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) Bukit Bintang, Ahmad Asri Talib, pembangkang perlu menubuhkan semula PH Plus dan melantik pengerusi PH Plus yang baharu seterusnya menukar ketua pembangkang bagi mengantikan ketua pembangkang (Anwar) yang sedia ada.
“Calon ketua pembangkang mestilah mereka yang dipercayai penuh oleh semua parti pembangkang, samada PH mahupun PH plus. Dasar Grand Coalation oleh parti Amanah perlu direalisasikan dan jangan dibunuh oleh kerana tekanan dari mana-mana pihak.
“Bagi mengembalikan kepercayaan rakyat jelata dan membina kembali kerajaan yang di hormati, maka jalan menukar ketua pembangkang adalah jalan terbaik. Ramai calon boleh di ketengahkan seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Shafie Afdhal dan mereka yang dipersetujui oleh PH Plus,” katanya.
Hari ini juga seperti yang dilaporkan akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau, ledakan mahukan PH mengemukakan calon lain selain Anwar telah dipalu oleh pemimpin PKR di Pulau Pinang.
Antaranya, mereka mahu Anwar berhenti memimpin barisan pembangkang termasuk berhenti menjadi ketua pembangkang dalam Dewan Rakyat.
Pemimpin yang sebelum ini daripada ‘kem Azmin’ itu berpendapat Anwar telah mengecewakan orang ramai dan rakan politik lain, malahan gagal menyatukan PKR secara dalaman sehingga menyebabkan ramai Ahli Parlimen yang bertanding atas tiket PKR telah melompat parti.
Bagaimanapun, terdapat juga suara dalam PKR yang mahu Anwar memberi laluan kepada pemimpin lain untuk meneraju barisan pembangkang.
Antara nama-nama yang disebutkan untuk ganti Anwar termasuk Dr Mahathir Mohamad (Pengerusi Pejuang), Lim Kit Siang (Pemimpin veteran DAP) dan Mohd Shafie (Presiden Warisan).
Selepas Pilihan Raya Umum ke-14, PH memimpin negara dengan Dr Mahathir selaku Perdana Menteri yang dipilih secara konsensus.
Perjanjian yang dibuat adalah Dr Mahathir perlu melepaskan jawatan dan memberikan jawatan itu kepada Anwar selepas dua tahun namun sebaliknya berlaku.
Dr Mahathir berjanji akan melepaskan jawatan selepas penganjuran Kerjasama Ekonomi Asia (APEC) 2020 pada pada November 2020.
Namun, segalanya tidak kesampaian di mana PH tumbang selepas 22 bulan memerintah.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson sekali lagi mempunyai peluang untuk menjadi Perdana Menteri kesembilan tetapi hanya meraih 105 sokongan Ahli Parlimen berbanding Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan 114 sokongan.
Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum itu meletak jawatan sebagai Perdana Menteri selepas 15 ahli Parlimen UMNO diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tarik sokongan terhadap dirinya dan Perikatan Nasional.
Ismail Sabri angkat sumpah sebagai Perdana Meneri pada 22 Ogos.
Sumber | Sinarharian
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment