NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hasil undi 220 ahli Parlimen Malaysia


220 ahli parlimen mengundi minggu lepas.

Pemenangnya ialah Ismail Sabri Yaakob yang dipilih menjadi perdana menteri ke-9, untuk 30 juta rakyat Malaysia.

Begitulah sistem demokrasi negara.

Berjuta-juta undi rakyat Malaysia seluruh negara dipusatkan ke tangan 222 wakil ahli Parlimen selama lima tahun.

Mana-mana ahli Parlimen yang mendapat lebih 112 undi akan dipilih menjadi perdana menteri.

Sesama mereka boleh bergasak untuk menjatuhkan sesama sendiri selama lima tahun lamanya.

Dengan satu undi rakyat di 2018, rakyat kini mendapat tiga perdana menteri dengan 18 bulan lagi sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 terpaksa diadakan, melainkan negara berada dalam keadaan darurat.

Sebagai rakyat Malaysia, kita hanya boleh melihat.

Diharap mereka yang mengharapkan perubahan, berpuas hati dengan perubahan yang berlaku minggu lalu, di mana Muhyiddin Yassin digantikan oleh timbalannya sebagai perdana menteri dalam jurang kurang daripada seminggu.

Kerajaan yang sering didakwa mereka gagal sudah dijatuhkan.

Harap mereka dapat bergembira pula dengan kerajaan yang baru ini.

Ia tetap sebuah kerajaan Malaysia.

Banyak pelajaran yang dapat dipelajari minggu lepas.

Pertama, jangan pilih pemimpin yang tidak mempunyai “game plan”, terutamanya buat dulu, fikir kemudian.

Ini dapat dilihat daripada kekosongan kerusi perdana menteri yang tidak dapat diisi oleh mereka yang sering mendakwa mempunyai “sokongan yang kukuh dan menyakinkan.”

Kedua, minggu lepas mengajar kita bahawa toleransi dan muafakat membawa kejayaan.

Umno dan Bersatu melalui PAS berjaya mengenepikan sengketa seketika demi mengekalkan kerajaan, manakala Pakatan Harapan (PH) enggan menukar strategi dengan terus mengharap kejayaan daripada calon yang sama.

Ketiga, rakyat disedarkan bahawa mereka sangat tidak berkuasa.

Oleh itu, undi setiap lima tahun itu janganlah dibazirkan.

Jika kalian tidak mahu mengikuti politik, ia mungkin akan menghantui hidup kalian.

Keempat, kesetiaan membawa berkat.

Kesetiaan Ismail mempertahankan kerajaan akhirnya berhasil.

Kesetiaan PAS bersama Bersatu, sambil terus mengukuhkan hubungan dengan Umno terbukti menjadi jambatan yang kritikal.

Umno, Bersatu dan PAS mencapai kata sepakat untuk mencalonkan Ismail.

Kelima, seseorang yang khianat akan terus melakukan khianat.

Seseorang yang khianat, akan khianat amanah duit, akan khianat parti, akan khianat cikgu, dan akhirnya akan khianat diri.

Cabaran yang bakal diharungi Ismail akan jauh lebih berliku daripada apa yang terpaksa dihadapi oleh Muhyiddin.

Nasib mereka hampir sama, mereka perlu meneruskan cabaran berdepan Covid-19, tuntutan rakan-rakan agar kesetiaan kepadanya tidak dicabul, menjernihkan persengketaan antara Umno dan Bersatu dan berdepan dengan kumpulan khianat dengan majoriti nipis di tangan.

Silap sedikit sahaja, kerajaan yang diterajui Umno ini boleh jatuh tersungkur dan menjadi yang terpendek dalam sejarah Malaysia.

Selamat bertugas, Pak Long!

Sumber : Malaysianow

Artikel terdahulu..



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo