Responsive Ad Slot

Dua penerima vaksin dibayar pampasan akibat kesan sampingan vaksin COVID-19

Vaksin COVID-19. - Foto hiasan

SINGAPURA: Dua penerima suntikan vaksin COVID-19 yang mengalami kesan sampingan serius masing-masing menerima pampasan tertinggi SGD$225,000 (RM703,000).

Salah seorang penerima bantuan kewangan kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (MOH) itu ialah remaja lelaki berusia 16 tahun yang mengalami masalah jantung selepas menerima dos pertama vaksin COVID-19.

Beliau rebah di rumah selepas menyertai sesi angkat berat di gimnasium pada 3 Julai lalu iaitu enam hari selepas menerima dos pertama vaksin Pfizer.

Remaja itu kini sedang menjalani rawatan pemulihan dan dijangka keluar dari hospital pada minggu depan.

Di bawah Program Bantuan Kewangan Kecederaan Vaksin (VIFAP) yang dilancarkan awal tahun ini, pampasan sekali gus dibayar kepada penerima vaksin yang mengalami kesan sampingan serius.

"Pembayaran tahap satu berjumlah SGD$225,000 (RM703,000) seorang diberikan kepada dua penerima setakat ini," kata jurucakap MOH kepada The Straits Times.

Ia bertujuan mengurangkan kebimbangan dalam kalangan penerima vaksin, sekali gus mendorong lebih ramai tampil menerima suntikan.

Menurut MOH lagi, jumlah keseluruhan bayaran termasuk yang sedang diproses setakat ini adalah SGD$782,000 (RM 2.4 juta) membabitkan 144 pemohon yang dinilai mengikut kriteria ditetapkan.

laman sesawang MOH memaklumkan jumlah bantuan kewangan yang diberikan melalui VIFAP adalah tetap dan bergantung kepada betapa seriusnya kesan sampingan dialami pesakit.

Ia dibahagikan kepada tiga kategori, pertama yang menyebabkan kematian atau kecacatan kekal yang serius dengan pampasan sekali bayar berjumlah SGD$225,000 (RM703,000).

Kedua, bagi kes yang memerlukan kemasukan ke wad atau memerlukan rawatan intensif, dengan bayaran SGD$10,000 (RM31,200). - AGENSI


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo