NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Azizulhasni terima tawaran biasiswa PhD di UMT

AZIZULHASNI Awang memegang surat tawaran biasiswa peringkat doktor falsafah (PhD) di samping watikah pelantikan sebagai Karyawan Tamu Utama Pelawat Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kuala Nerus, hari ini.

Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, 33, hari ini menerima tawaran Biasiswa Tuanku Canselor (BTC) bagi melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Beliau merupakan atlet pertama menerima biasiswa tertinggi institusi berkenaan dengan tajaan bernilai RM72,000 sepanjang tempoh tiga tahun pengajian.

Selain biasiswa, anak jati Dungun itu turut dilantik sebagai Karyawan Tamu Utama Pelawat UMT berkuat kuasa 1 Januari lalu hingga 31 Disember 2022 di samping bakal menjadi penerima Anugerah Ijazah Kehormat Sains Sosial dalam Majlis Konvokesyen Ke-19 pada November depan.

Azizulhasni berkata, walaupun menerima banyak tawaran daripada universiti lain, namun UMT menjadi pilihan kerana terletak di negeri kelahiran.

“Saya suka belajar dan penghargaan yang diberikan pihak UMT ini merupakan pencapaian terbesar saya di luar karier berbasikal yang diceburi selama ini.

“Bagaimanapun, buat masa ini tumpuan saya adalah pada Sukan Olimpik di Paris, Perancis pada 2024, namun saya berbesar hati kerana pihak UMT memaklumkan saya boleh menyambung PhD pada bila-bila masa apabila saya bersedia,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Naib Canselor, Prof. Dr. Mazlan Abd. Ghaffar di UMT di sini.

Azizulhasni bakal menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Kecergasan Klinikal dan Sains di Universiti Victoria, Melbourne di Australia yang berbaki setahun lagi.

Sementara itu, Mazlan berkata, BTC merupakan biasiswa khas untuk pelajar cemerlang yang menghabiskan pengajian sekurang-kurangnya lima tahun di UMT.

Katanya, selain tawaran menyambung pengajian, pihaknya turut menyediakan tempat buat Azizulhasni yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman untuk berkhidmat sebagai kakitangan akademik di universiti itu.

“Khidmat beliau bakal membolehkan kita merealisasikan impian membangunkan bidang sains sukan di UMT,” katanya.

Sumber | UTUSAN ONLINE

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo